Wanita genit bersyukur anak membesar dengan sempurna
MARANG - Wanita istimewa yang dikurniakan bentuk fizikalnya lebih kecil berbanding wanita normal lain bersyukur kerana anak sulung yang dilahirkan secara pembedahan sejak hampir dua tahun lalu kini membesar dengan sempurna.
Syakila Norazma Amira Zuharsema, 29, berkata, tahap tumbesaran anaknya, Muhammad Ayden Adrian yang kini berusia setahun sembilan bulan normal seperti kanak-kanak lain dengan berat badan mencecah 8.5 kilogram (kg).
"Saya bersyukur, walaupun dilahirkan tak cukup bulan, graf pertumbuhan Ayden normal seperti kanak-kanak lain. Sama ada dari segi ketinggian dan berat badan.
"Sebenarnya waktu mengandungkan dia dulu macam-macam bermain di fikiran saya. Takut dia kecil macam saya juga. Macam-macam saya fikir. Tapi ALLAH SWT Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa dan telah aturkan yang terbaik.
"Kadang-kadang sekarang ini pun datang fikiran nakal saya terbayang kalau anak dah besar, nak ke dia mengaku saya sebagai ibu atau dia ingat saya kawan dia sahaja sebab saiz badan saya lebih kecil," ujarnya berseloroh.
Syakila Norazma Amira atau lebih dikenali sebagai Yaya berkata, kehidupannya berubah selepas melahirkan Ayden dan dia kini memberi tumpuan membesarkan anak sulungnya itu.
"Kehidupan saya kini luar daripada kebiasaan sebab anak dah semakin membesar dan agak lasak. Kadang-kadang rasa macam tak mampu nak urus sendiri disebabkan saiz badan saya yang kecil. Tapi bagi saya, sampai bila nak harapkan bantuan orang lain untuk mengasuh dia.
"Sebolehnya saya cuba untuk buat sendiri uruskan semua walaupun fizikal saya agak kecil. Nak dukung dia pun perlukan tenaga yang kuat. Tapi saya cuba untuk buat yang terbaik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Tapai Indah, Wakaf Tapai di sini.
Sudah lali berdepan cemuhan terutama melibatkan bentuk badan, wanita genit berketinggian 118 sentimeter itu mengetepikan kata-kata yang tidak baik yang mematahkan semangatnya.
"Benda negatif tu selalu ada sebab bila kita naik (dikenali ramai), tak akan ada seorang pun yang tak menghina dan mencaci kita. Lebih-lebih lagi bila ramai yang kenal kita.
"Kita tak boleh lari daripada itu, cuma kita kena kuat untuk hadap semua tu," katanya.
Menurut Yaya, dia pernah membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun TikTok yang meninggalkan komen negatif ketika dia menjalankan jualan secara dalam talian di platform media sosial berkenaan.
Katanya, laporan itu dibuat di Balai Polis Wakaf Tapai di sini, pada 29 September lalu.
"Saya boleh terima kalau nak kecam tapi kalau keterlaluan sehingga melibatkan soal kehormatan diri saya tak boleh bersabar.
"Ada benda boleh bergurau kita bergurau tetapi berkaitan dengan adab kita kena jaga," ujarnya yang kini seberat 22kg berbanding 18kg sebelum berkahwin.
Yaya berkata, dia kini aktif menjalankan perniagaan secara dalam talian termasuk melakukan perkhidmatan secara 'paid review' menerusi media sosial.
"Sekarang saya aktif berniaga secara dalam talian dan ada juga menerima bayaran untuk membuat review produk.
"Kerja-kerja yang saya buat ini memerlukan saya berinteraksi dengan orang ramai. Sebab itulah saya perlu 'kalis kecaman' tapi tak bermakna semua orang bebas untuk mengecam apa sahaja sehingga melibatkan soal maruah dan harga diri," ujarnya.
Kisah Yaya sebelum ini pernah menarik perhatian ramai selepas mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Muhammad Azri Zaidi, 21, yang mempunyai ketinggian 154 sentimeter.
Pasangan suami isteri itu bertemu jodoh selepas mereka berkenalan menerusi permainan dalam talian, PUBG.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan wanita tersebut selamat melahirkan bayi sulung pada 25 Januari 2022 iaitu awal sebulan berbanding tarikh jangkaan bersalin pada 25 Februari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!