MOT pergiat peranan Pelabuhan Klang, hab penghantaran barang utama di ASEAN

Anthony berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di sebuah hotel pada Jumaat malam. - Foto Bernama
Anthony berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di sebuah hotel pada Jumaat malam. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam usaha untuk mempergiatkan lagi peranan Pelabuhan Klang sebagai hab penghantaran barangan utama di rantau ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pertemuan bersama empat syarikat perkapalan terkemuka dunia iaitu MSC, Maersk, CMA-CGM, dan Hapag Lloyd menerusi lawatan kerja selama satu minggu di Eropah baru-baru ini merupakan antara usaha kerajaan untuk mengukuhkan peranan pelabuhan utama negara.

"Tujuan pertemuan ini untuk menarik minat mereka supaya bukan sahaja meningkatkan pelaburan tetapi juga kehadiran mereka di Malaysia.

"Pertemuan ini membuahkan hasil yang menarik dan saya yakin, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, mereka akan mempunyai kehadiran yang lebih besar di Malaysia, khususnya di Pelabuhan Klang, begitu juga di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

"Kita mempunyai rancangan untuk mempergiatkan lagi peranan Pelabuhan Klang sebagai hab penghantaran barangan utama di ASEAN.

"Ini sudah tentu memerlukan kerjasama daripada semua pihak supaya kita dapat meningkatkan lagi daya saing Pelabuhan Klang,” katanya dalam ucapan pada Majlis Gala Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di sini malam Jumaat.

Dalam pada itu, Anthony berkata, di peringkat nasional, pembangunan Sistem Tunggal Maritim Malaysia (MMSW) sedang giat dijalankan dan akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Januari 2024 selaras dengan ketetapan Pertubuhan Maritim Antarabangsa.

Katanya, MMSW ialah pangkalan data digital dan sumber data yang akan memudahkan aliran informasi di hujung jari dan menjadi satu nilai tambah kepada pengguna pelabuhan, pemain logistik dan agensi kerajaan untuk kemudahan pengangkutan.

Artikel Berkaitan:

"Portal sehenti itu dijangka dapat membantu menyelesaikan isu pertindihan maklumat yang sama kepada pelbagai agensi.

"Ia mampu memproses aktiviti perdagangan antarabangsa sekali gus mengurangkan masa menunggu pelepasan kargo, kos perniagaan serta meningkatkan daya saing dan kecekapan,” katanya.

Anthony berkata, dari segi kapasiti, LPK merancang untuk meningkatkan pengendalian kontena sebanyak 13 juta TEU dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan pembangunan Westports 2, terdiri daripada pembangunan dermaga sepanjang lima kilometer, yang dilengkapi dengan kemudahan terkini.

"Bagi perancangan jangka panjang, cadangan pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey di Kuala Langat akan membawa kapasiti tambahan sebanyak 30 juta TEU dalam tempoh 25 tahun,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!