Thailand ranapkan impian emas Malaysia
SKUAD sepak takraw negara terpaksa berpuas hati meraih pingat perak acara antara regu temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua sebentar tadi.
Dalam aksi final berdepan musuh tradisi, Thailand, Malaysia yang dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2018 di Indonesia tewas 15-21, 19-21.
Jurulatih Malaysia, Ahmad Jais Baharun membuat percaturan dengan menurunkan gandingan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Mohamad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir.
Sebaliknya, tekong berpengalaman yang juga kapten, Mohamad Syahir Rosdi diletakkan di bangku simpanan sebelum dia masuk bagi menggantikan Zarif Marican ketika Malaysia ketinggalan 11-14 di set pertama.
Namun, kemasukan Syahir masih belum mampu buat Malaysia menandingi keampuhan regu Thailand yang dibarisi Sittipong Khamchan, Pichet Pansan dan Pattarapong Yupadee.
Kekalahan kepada Thailand itu menyaksikan Malaysia sekadar membawa pulang dua pingat perak pada temasya Sukan Asia kali ini, sekali gus gagal mencapai sasaran satu emas yang ditetapkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Sebelum ini, Malaysia gagal menamatkan penguasaan Thailand selama 25 tahun dalam acara regu berpasukan lelaki selepas tumbang dalam aksi final.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!