Lawatan Anwar di UAE beri manfaat besar kepada Malaysia
ABU DHABI - Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis dan Jumaat hanya berlangsung dalam tempoh kira-kira 36 jam, namun tempoh yang singkat itu tidak menjadi halangan buat Malaysia meraih manfaat besar terutama dalam aspek pelaburan dari Negara Teluk itu.
Sejak tiba pada 5 pagi Khamis, Perdana Menteri berhadapan dengan program yang padat bermula dengan menghadap Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi selain bertemu beberapa menteri kanan yang terlibat dalam hal ehwal ekonomi, perdagangan dan pelaburan, pemegang taruh dana kekayaan berdaulat UAE, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan syarikat-syarikat perniagaan terbesar di UAE.
Bagi Perdana Menteri, beliau melihat pertemuan dengan Sheikh Mohamed membuka ruang dan kejayaan dalam pertemuan-pertemuan lain, yang meyakinkan beliau akan hubungan rapat dan sahabat kedua-dua negara itu.
Lawatan 36 jam itu telah menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion (AS$8.6 bilion) untuk Malaysia dalam sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan logistik.
Ia meliputi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar berhubung projek-projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt bernilai AS$8 bilion.
Komitmen pelaburan lain adalah dalam sektor logistik yang bernilai AS$450 juta dan sektor aeroangkasa bernilai AS$150 juta.
Anwar sewaktu pertemuan itu sentiasa konsisten memberikan jaminan bahawa Malaysia komited memajukan tenaga boleh diperbaharui selain mahu memudahkan urusan menjalankan perniagaan di Malaysia.
"Apabila ke Malaysia, anda boleh saksikan sendiri perubahan berbanding pada lima, tiga atau dua tahun lepas.
"Saya juga ingin tegaskan satu perkara -- keadaan sekarang jauh lebih baik serta mudah untuk menjalankan perniagaan kerana wujudnya keazaman lebih jelas dan kepimpinan yang efektif bagi memastikan kita dapat berfungsi berkesan,” kata beliau sewaktu perbincangan meja bulat bersama barisan pemimpin industri di UAE.
Dengan Malaysia menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur luar yang mahu datang ke Malaysia untuk melabur dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, Perdana Menteri juga mahu lokasi-lokasi yang sesuai untuk pembangunan sektor itu dikenal pasti, sesuatu yang boleh membantu Malaysia menjadi hab bagi sektor tenaga boleh diperbaharui.
Ada media di UAE memberikan gambaran hubungan baik antara Malaysia dan UAE adalah kerana hubungan peribadi yang erat antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sheikh Mohamed, yang telah terjalin sejak menyertai latihan ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) di United Kingdom pada akhir 1970-an dan persahabatan itu kekal sehingga kini.
"Menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Tuanku. Baginda turut memainkan peranan utama - dalam mempereratkan hubungan dengan UAE, atas hubungan baik dan akrab dengan Yang Mulia Sheikh Mohamed,” kata Perdana Menteri sewaktu akhir lawatan beliau mengakui peranan Yang di-Pertuan Agong dalam hubungan baik Malaysia dan UAE.
Sewaktu di UAE, Anwar turut mengadakan lawatan ke Masdar City, yang terkenal sebagai bandar lestari terancang pertama di dunia.
Bandar ini dibangunkan secara canggih, moden dan memenuhi keperluan hijau dan terdapat universiti bertaraf dunia, Mohamed bin Zayed University of Artifical Intellegence (MBZUAI), yang pertama mengkhususkan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).
Dengan kejayaan lawatan beliau itu, Perdana Menteri berkata, kini terpulang kepada pimpinan kerajaan serta kementerian dan agensi terbabit untuk menjadikannya realiti yang akhirnya akan menguntungkan negara dan rakyat.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, adalah lebih efektif MIDA dan Masdar, sebagai agensi di negara masing-masing, melihat kepada Malaysia sebagai negara pengeluar tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, selain komitmen pelaburan yang dicapai sewaktu lawatan itu, ada beberapa pelaburan di Malaysia yang masih dalam rundingan seperti dalam sektor teknologi makanan, keselamatan makanan, hospitaliti, pembuatan dan pusat data.
"Susulan lawatan ini banyak tindakan susulan akan dilakukan untuk lebih banyak pelaburan buat negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!