Rapid Rail teliti tata cara operasi koc wanita

Rapid Rail sedang meneliti tata cara pengoperasian Koc Wanita bagi mendidik orang ramai mengenai etika penggunaannya susulan pengenalan inisiatif itu di MRT Laluan Kajang sejak 18 September lepas.
Rapid Rail sedang meneliti tata cara pengoperasian Koc Wanita bagi mendidik orang ramai mengenai etika penggunaannya susulan pengenalan inisiatif itu di MRT Laluan Kajang sejak 18 September lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) sedang meneliti tata cara pengoperasian Koc Wanita bagi mendidik orang ramai mengenai etika penggunaannya susulan pengenalan inisiatif itu di Aliran Transit Massa (MRT) Laluan Kajang sejak 18 September lepas.

Ketua Jabatan Operasi Perkhidmatan MRT Laluan Kajang, Sofiah Hussien berkata, pihaknya menerusi sukarelawan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) digelar Troopers dan Polis Bantuan sentiasa melakukan pemantauan secara berkala dalam tren dan di stesen bagi mengenal pasti individu yang 'menceroboh' Koc Wanita.

"Pengguna wanita juga boleh menegur secara berhemah pengguna lelaki untuk menukar ke koc biasa namun jika berterusan, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada anggota Polis Bantuan atau kakitangan operasi selain atau terus menghubungi pusat khidmat pelanggan Rapid KL.

"Saya menyeru orang ramai agar dapat membantu dan menyokong MRT dengan memperingati antara satu sama lain tentang kepentingan dan sensitiviti koc khas ini untuk keselesaan bersama,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan keprihatinan seorang pekerja penghantar makanan yang meminta sekumpulan pengguna lelaki termasuk warga asing beralih daripada Koc Wanita sambil memberikan penjelasan dalam bahasa Inggeris mengenai koc khas tersebut.

Sofiah berkata, pelaksanaan Koc Wanita bagi perkhidmatan MRT Laluan Kajang bertujuan memberi keselesaan dan menjaga keselamatan golongan wanita sebagai pengguna perkhidmatan berkenaan.

"Berdasarkan tinjauan umum, kami mendapati laluan ini menerima permintaan tinggi apabila 53 peratus pengguna terdiri daripada golongan hawa. Bagaimanapun, pelaksanaan ini akan dinilai selama tiga hingga enam bulan oleh pihak berkuasa sebelum sebarang keputusan diambil untuk dilaksanakan di laluan rel lain," katanya.

Koc Wanita terletak di bahagian tengah setiap tren MRT Laluan Kajang dengan menggunakan sebahagian koc dua dan tiga, serta mempunyai pelekat ikon wanita berwarna merah jambu dengan perkataan 'Wanita Sahaja'.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, di platform pengguna juga telah disediakan ruang beratur dan menunggu berpelekat ikon wanita selain membuat pengumuman secara berkala di dalam tren dan di stesen-stesen sebagai pemakluman kepada pengguna.

"Ia boleh digunakan oleh semua penumpang wanita pelbagai umur dan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ke bawah ditemani penjaga wanita manakala komuniti orang kurang upaya (OKU) termasuk penjaga diberikan keutamaan untuk menaiki mana-mana koc,” katanya.

Bagaimanapun, Sofiah berkata, semua penumpang akan dibenarkan menggunakan Koc Wanita sekiranya terdapat gangguan perkhidmatan selepas mendapat nasihat petugas di platform.

Beliau berharap semua pengguna MRT Laluan Kajang bersikap positif dalam menerima inisiatif berkenaan kerana ia bukan satu perkara baharu berikutan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan tren KTM Komuter telah memperkenalkan Koc Wanita pada April 2010.

"Saya menasihatkan semua pengguna wanita memanfaatkan sepenuhnya Koc Wanita terlebih dahulu bagi memberi ruang kepada pengguna lain menggunakan koc biasa,” katanya.

Seorang pelajar jurusan Komunikasi Nur Fathin Mad Sidi, 25, berharap MRT perlu lebih giat melaksanakan kempen kesedaran mengenai koc wanita bagi membanteras isu pencerobohan terhadap koc khas itu.

"Rasa geram juga bila lihat golongan lelaki dengan selamba duduk di Koc Wanita. Bila ditegur, ada yang buat tidak tahu sahaja. Mungkin MRT perlu lebih kerap buat pengumuman atau pemantauan secara langsung di stesen,” katanya.

Pekerja restoran makanan segera Fatin Anisa Said, 27, pula berkata pelaksanaan Koc Wanita membantu mengurangkan kes gangguan seksual dalam mod pengangkutan itu.

"Jujurnya, saya rasa lebih yakin dan selamat untuk menaiki MRT. Sekurang-kurangnya, kita dapat mengelakkan daripada berlakunya sentuhan fizikal antara lelaki dan wanita terutamanya pada waktu puncak,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!