PRK Pelangai: Proses pengundian berjalan lancar

Seawal 8 pagi pengundi Orang Asli bersemangat hadir mengundi pada PRK DUN Pelangai di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Manchis pada Sabtu
Seawal 8 pagi pengundi Orang Asli bersemangat hadir mengundi pada PRK DUN Pelangai di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Manchis pada Sabtu
A
A
A

BENTONG - Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berjalan lancar dengan pengundi dilihat mengambil kesempatan cuaca yang baik pada sebelah pagi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebanyak sembilan pusat pengundian melibatkan 30 saluran dibuka pada 8 pagi tadi hingga 6 petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan menyebut sejumlah 21 peratus pengundi telah keluar mengundi setakat 10 pagi.

Calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, 62, yang diiringi isteri Nor Atiqah Abu Bakar, 55, mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi dengan kedua-duanya selesai mengundi pada 8.29 pagi.

Dua lagi calon yang bertanding dalam PRK itu, Datuk Amizar Abu Adam mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli yang menggunakan simbol kereta, masing-masing adalah pengundi di DUN Ketari, juga dalam Parlimen Bentong.

Dalam pada itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut turun padang melakukan tinjauan di sekitar pusat pengundian DUN Pelangai.

Seramai 312 petugas SPR bertugas bagi proses pengundian hari ini.

Tinjauan Bernama di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kemasul mendapati kehadiran pengundi tidak putus-putus sebaik sahaja pintu pagar pusat pengundian dibuka tepat 8 pagi.

Artikel Berkaitan:

Petugas SPR membantu warga emas berkerusi roda untuk mengundi. - Foto Bernama
Petugas SPR membantu warga emas berkerusi roda untuk mengundi. - Foto Bernama

Di pusat pengundian SMK Felda Chemomoi, warga emas Rokiah Said, 80, yang berkerusi roda diiringi anaknya dengan dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi pengundi terawal menunaikan tanggungjawab.

Turut tidak melepaskan peluang mengundi di lokasi sama ialah pengundi muda Farini Ellisa Najwa Abd Manap, 20, yang sanggup menempuh perjalanan hampir 200 kilometer dari tempat kerjanya di Kuantan untuk pulang mengundi hari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!