KKD kurang berpuas hati dengan TikTok
KUALA LUMPUR - Pengendali aplikasi TikTok akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberikan penjelasan berkaitan kandungan iklan di platform terbabit.
Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, pelbagai aduan diterima daripada pelbagai pihak berkaitan yang mendakwa menerima impak berkaitan platform ini.
Menurutnya, banyak syarikat berbelanja untuk iklan di TikTok, bukan di organisasi media tempatan dan perkara ini memberi kesan kepada industri media tempatan.
"Ada aduan diterima daripada orang awam, syarikat perniagaan malahan pihak media sendiri yang terkesan berkaitan iklan dan kandungan di aplikasi terbabit.
"Isu melibatkan virus X yang mana mengatakan jururawat perlu ambil suntikan mencecah lebih 1.5 juta tontonan, bila dipanggil kita lihat tiada tindakan dilakukan," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pembersihan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, selain itu kerjasama pengendali aplikasi terbabit terhadap pihak kerajaan ketika ini dilihat kurang memuaskan.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkaitan akan meneliti beberapa asas berhubung tindakan kerajaan Indonesia mengharamkan aplikasi TikTok Shop sebelum ini.
"Mereka akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu dan beberapa isu lain yang berbangkit," katanya.
Pada 30 September lalu, Agensi melaporkan Indonesia telah mengharamkan transaksi e-dagang dalam platform media sosial TikTok yang memberi pendapatan tinggi kepada peniaga dalam talian.
Kementerian Perdagangan berkata, langkah tersebut yang berkuat kuasa serta-merta bertujuan melindungi peniaga di luar talian dan pasaran selain harga ditawarkan terlalu murah telah menjejaskan perniagaan kecil dan sederhana di luar premis.
Langkah tersebut dibuat selepas tiga bulan lalu TikTok berjanji untuk melabur berbilion dolar di Asia Tenggara terutamanya di Indonesia.
TikTok yang dimiliki ByteDance berpangkalan di China mempunyai 125 juta pengguna aktif di Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!