Masih terlalu awal rombak kabinet - KJ

Former Health Minister Khairy Jamaluddin - FILE PIX
Former Health Minister Khairy Jamaluddin - FILE PIX
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan masih terlalu awal untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan rombakan kabinet secara besar-besaran ketika ini.

Beliau berpendapat, ini kerana barisan jemaah menteri sedia ada masih baharu malah tidak sampai dua tahun berkhidmat.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, menteri-menteri dalam kabinet sedia ada perlu diberi peluang untuk menunjukkan petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.

"Perdana Menteri ada dua pilihan sama ada mengisi kekosongan sahaja yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan yang kedua melakukan rombakan besar (kabinet).

"Jadi sekarang ini perkiraan dan juga pertimbangan Perdana Menteri sama ada beliau ingin mengambil peluang ini untuk membuat satu perubahan yang besar kepada barisan jemaah menteri.

"Tapi pandangan saya mungkin agak terlalu awal sebab belum lagi setahun dan agak luar biasa jemaah menteri dirombak secara besar-besaran dalam tempoh yang singkat," katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau hadir dalam Program Johor International Youth Conference 2023 di Pusat Konvension Antarabangsa Persada di sini pada Sabtu, yang dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Turut hadir Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Artikel Berkaitan:

Sejak kebelakangan ini, pelbagai spekulasi dibuat mengenai rombakan Kabinet dengan beberapa nama besar turut dikaitkan termasuk Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Desas-desus rombakan kabinet timbul sejak minggu lalu selepas jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian Salahuddin pada Julai lalu.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Penasihat Belia Johor berkata, mengikut pengalamannya secara kebiasaan rombakan kabinet dilakukan selepas dua tahun bagi memberi peluang kepada jemaah menteri menunjukkan prestasi.

"(Kalau) tempoh 10 atau 11 bulan tu memang tak cukup la untuk kita lihat hasil walaupun ada mungkin membuat keputusan awal (melakukan rombakan itu) tetapi untuk berlaku adil kepada jemaah menteri, mereka perlu sikit lagi masa untuk menunjukkan prestasi mereka," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!