[VIDEO] PRK Pelangai: Saluran anak muda memberangsangkan - SPR
BENTONG - Saluran anak muda bagi hari pembuangan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai amat memberangsangkan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hasil tinjauan awal SPR di dua pusat pembuangan undi mendapati kehadiran pengundi muda di saluran empat dan lima yang lebih ramai berbanding kebiasaan.
"Daripada segi sambutan saya lihat untuk saluran orang muda pada hari ini amat memberangsangkan di kedua-dua sekolah.
"Kalau kita lihat para pengundi muda yang datang awal dan berbaris panjang. Sebelum ini orang muda agak lewat turun mengundi tapi di sini saya nampak ada satu semangat perubahan dimana kita lihat saluran empat dan lima iini begitu bersemangat untuk mengundi pada pagi ini," katanya ketika ditemui media selepas meninjau Pusat Pembuangan Undi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chemomoi di sini pada Sabtu.
Beliau menambah, berdasarkan perkembangan jumlah peratusan pembuangan undi semasa, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran 75 peratus.
"Setakat jam 10 kehadiran lebih kurang 21 peratus (dan jam 11 pagi 32 peratus). Saya menyeru kepada semua pengundi dapat keluar mengundi di masa yang kita galakkan.
"Kita lihat pada peratusan setiap jam 10 peratus peningkatan saya rasa kita dapat capai sasaran pada kali ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu tiada sebarang aduan diterima SPR berhubung insiden kekecohan ketika Ceramah Grand Finale Perikatan Nasional (PN) di Simpang Pelangai malam Jumaat.
"Mungkin ada sedikit pertelingkahan sesama mereka tapi saya rasa sudah dua minggu ini, daripada segi kempen yang dibuat setakat ini perjalanan ceramah amat baik dan saya rasa semangat DUN Pelangai itu amat bagus sebab masyarakat disini amat baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!