Pemandu teksi di Korea Selatan bakar diri bantah perkhidmatan kongsi perjalanan
SEOUL - Seorang pemandu teksi membakar dirinya sehingga mati pada Rabu sebagai membantah pengenalan perkhidmatan perkongsian perjalanan oleh pengusaha aplikasi panggilan teksi negara itu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan polis.
Lelaki berusia 76 tahun itu yang nama keluarganya dikenal pasti sebagai Ahn, telah membakar dirinya pada pukul 3.19 pagi berhampiran Plaza Seoul di pusat bandaraya itu, menurut polis.
Ahn segera dikejarkan ke hospital di mana beliau menghembuskan nafas terakhir.
Mangsa dipercayai membakar dirinya sendiri sebagai membantah penerimaan perkhidmatan perkongsian perjalanan memandangkan dia dilaporkan telah meluahkan penentangan terhadap perkongsian perjalanan pada badan teksinya.
Dua pemandu teksi telah membakar diri mereka sehingga mati pada Disember 2018 dan Januari tahun ini sebagai membantah perkhidmatan itu.
Seorang lagi pemandu bertindak membakar dirinya pada bulan Februari namun berjaya diselamatkan.
Persatuan teksi begitu menentang pengenalan perkhidmatan perkongsian perjalanan oleh pengusaha aplikasi panggilan teksi seperti Kakao Mobility kerana mendakwa ia akan menjejaskan perniagaan mereka.
Pemandu teksi mendakwa perkhidmatan perkongsian perjalanan pada akhirnya akan menyebabkan pelanggan mereka lari kerana ia boleh digunakan sepanjang masa memandangkan waktu kerja yang fleksibel ketika ini telah membenam tanggapan tradisi mengenai masa berulang-alik ke tempat kerja. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!