[VIDEO] Pelangai balik mengundi di DUN Pelangai
BENTONG - Seorang pengundi bernama Pelangai atau nama penuhnya, Muhamad Anilzan Pelangai Ramli, 38, antara yang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pelangai di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga seorang ahli perniagaan berasal dari Kampung Jawi-Jawi kelihatan bersemangat dan teruja selepas selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Saya bergerak pulang dari Kuala Lumpur jam 9 pagi tadi dan tiba jam 10.30 pagi (Sabtu).
"Saya telah selesai mengundi memilih calon pilihan dan ini tanggungjawab saya demi pembangunan di Pelangai untuk ahli keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan yang tinggal di sini," kata anak keempat daripada sembilan beradik itu lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Nama saya Pelangai, pengundi DUN Pelangai'
Sebelum ini, kisah Pelangai pernah dilaporkan Sinar Harian susulan keunikan namanya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Dalam pada, beliau yang juga mesra dengan panggilan Ijan mengakui suasana luar biasa pada PRK kali ini.
"Nampak sambutan kali ini lain sungguh, ramai yang keluar mengundi malah saya sendiri terpaksa beratur lebih sejam berbanding PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu.
"Saya berharap calon yang dipilih nanti dapat membantu menyelesaikan masalah dan membangunkan Pelangai nanti.
"Tujuan saya pulang mengundi walaupun duduk di Kuala Lumpur supaya ia dapat membantu penduduk kampung di sini," tambah beliau yang sudah empat kali mengundi setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!