Banci Pertanian 2024 Pahang libatkan isi rumah, pertubuhan

Razaman ( empat dari kiri) bersama peserta pada majlis perasmian Program FitDOSM Perdana sempena Sambutan Hari Statistik Negara 2023 peringkat Negeri Pahang di Taman Gelora di sini pada Sabtu.
Razaman ( empat dari kiri) bersama peserta pada majlis perasmian Program FitDOSM Perdana sempena Sambutan Hari Statistik Negara 2023 peringkat Negeri Pahang di Taman Gelora di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Kira-kira 60,000 isi rumah dan 2,000 pertubuhan dijangka terlibat dalam Banci Pertanian 2024 di negeri ini bermula Julai tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pahang, Razaman Ridzuan berkata, pihaknya kini sedang giat melaksanakan kerja-kerja mengemaskini rangka di seluruh negeri Pahang untuk persediaan pelaksanaan bancian tersebut.

Menurutnya, tumpuan bancian kepada isi rumah dan pertubuhan yang terlibat dalam aktiviti sektor pertanian di seluruh negeri itu bagi mengenal pasti produktiviti, keluasan kawasan, teknologi digunakan dan sebagainya.

"Banci pertanian perlu untuk mendapatkan maklumat lengkap dan terkini sektor pertanian secara menyeluruh di negeri ini terutama bagi perancangan pembangunan tanah dan keterjaminan makanan.

Razaman (tiga dari kiri) bersama sebahagian peserta Program FitDOSM Perdana melakukan aktiviti pembersihan pantai di Taman Gelora di sini pada Sabtu.
Razaman (tiga dari kiri) bersama sebahagian peserta Program FitDOSM Perdana melakukan aktiviti pembersihan pantai di Taman Gelora di sini pada Sabtu.



"Kali terakhir banci pertanian diadakan 18 tahun lalu, justeru data-data terkini sektor pertanian perlu dikumpulkan secara menyeluruh dalam bancian tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program FitDOSM Perdana sempena sambutan Hari Statistik Negara (MyStats Day) 2023 peringkat negeri Pahang di Taman Gelora dekat sini pada Sabtu.

Razaman berkata, tahun ini, DOSM Pahang sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2023 (BE 2023) bagi mengumpul maklumat pertubuhan (tahun rujukan 2022) melibatkan 52,272 pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

Razaman memberikan penjelasan berkaitan statistik yang dikeluarkan DOSM Pahang kepada pengunjung Program FitDOSM Perdana di Taman Gelora pada Sabtu.
Razaman memberikan penjelasan berkaitan statistik yang dikeluarkan DOSM Pahang kepada pengunjung Program FitDOSM Perdana di Taman Gelora pada Sabtu.

"Pada masa sama, DOSM juga telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

"OpenDOSM NextGen merupakan platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Hari Statistik Negara (MyStats Day) dengan tema 'Statistik Nadi Kehidupan' diadakan untuk meningkatkan kefahaman semua lapisan masyarakat tentang kepentingan statistik dan mengiktiraf sumbangan ahli statistik di negara ini.

Razaman (empat dari kiri) bersama sebahagian peserta Program FitDOSM Perdana melakukan aktiviti pembersihan pantai di Taman Gelora pada Sabtu.
Razaman (empat dari kiri) bersama sebahagian peserta Program FitDOSM Perdana melakukan aktiviti pembersihan pantai di Taman Gelora pada Sabtu.

"Sempena sambutan itu, DOSM Pahang telah turun padang menganjurkan Program FitDOSM Perdana bertemakan 'Statistik dan Kelestarian Alam Sekitar' untuk mendekati dan mempromosikan DOSM kepada masyarakat setempat.

"Program hari ini (Sabtu) melibatkan lebih 300 peserta melibatkan penduduk setempat yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti diadakan antaranya, senamrobik, aktiviti pembersihan pantai, pameran berkaitan produk jabatan, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan sukaneka," katanya.

Tambah beliau, DOSM Pahang akan mengadakan promosi secara berterusan untuk mendekatkan orang ramai dengan agensi itu selain meningkatkan kefahaman semua lapisan masyarakat tentang kepentingan statistik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!