Pusat KOSIS jana pendapatan ekonomi B40
TAIPING - Pelaksanaan Inisiatif Pusat Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) di Program Perumahan Rakyat (PPR) berpotensi menghasilkan pendapatan sampingan kepada golongan B40.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Wong Kah Woh berkata, program itu bukan sahaja membantu mengatasi masalah pembuangan sampah tetapi dapat menggalakkan penduduk membudayakan amalan kitar semula.
"KOSIS di PPR Simpang Perdana ini telah mula beroperasi sejak Januari 2020 dengan penglibatan kira-kira 60 peratus premis berpenghuni.
"Melihat prestasi KOSIS sehingga Ogos lalu, sebanyak 11,746.25 kilogram (kg) barang kitar semula, 395.65kg minyak masak dan 263.05kg sisa makanan telah direkodkan dengan nilai jualan sejumlah RM4,500.
"Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan pendapatan penghuni dengan penjualan barangan kitar semula. Difahamkan penghuni memperoleh sekitar RM200 menerusi pendapatan pasif setiap bulan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Inisiatif Komuniti PPR Sifar Sisa Bersamamu Madani (SSBM) di PPR Simpang Perdana dekat Simpang pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Sen Guan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti KPKT), Suhaimi Ali@Ahmad.
Menurut beliau, usaha itu bertepatan dengan nilai teras Malaysia Madani iaitu kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu serta kepelbagaian pandangan.
Tambah Kah Woh, pengurusan sisa pepejal berkonsepkan ekonomi kitaran ini berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat melalui pewujudan peluang perniagaan baharu.
"Peluang ini akan membuka lebih banyak tawaran pekerjaan dalam rantaian ekonomi kitaran seperti reka cipta, perkhidmatan sewaan, perkhidmatan pembaikan, pembuatan semula dan kitar semula.
"Pelaksanaan inisiatif Komuniti PPR SSBM tersebut dapat meningkatkan kebolehupayaan komuniti dari aspek ekonomi melalui pemerkasaan komuniti untuk menyokong hasrat kerajaan dalam menggerakkan ekonomi kitaran secara menyeluruh," katanya.
Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, SWCorp mensasarkan sebanyak 70 peratus premis di 17 PPR seluruh negara melaksanakan program KOSIS menjelang 2025.
"Dalam tempoh sama, kita mensasarkan kadar kitar semula sebanyak 40 peratus selain digitalisasi kitar semula seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.
"Matlamat lain Inisiatif Komuniti PPR SSBM ini adalah meningkatkan pendapatan golongan B40 serta memupuk kesejahteraan dan kemakmuran bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!