WCB tidak hanya tumpu hidupan liar - KPN
IPOH - [DIKEMAS KINI] Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak hanya tertumpu kepada usaha mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar tetapi turut fokus kepada khazanah alam negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan badan itu turut menumpukan kepada kecurian sumber asli dan bahan mineral.
"Biro ini tidak hanya tumpukan kepada sindiket pemburuan hidupan liar seperti Harimau Malaya sahaja, mineral seperti REE, pembalakan, perlombongan emas secara haram dan lain-lain yang melibatkan khazanah alam akan diberikan keutamaan.
"Jenayah alam sekitar perlu diberikan perhatian dan diharap mampu membuka mata banyak pihak bahawa jenayah ini akan memberi kesan yang amat buruk jika tidak dibanteras segera," katanya dalam sidang media pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Lapang Sasar Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dekat sini.
Turut hadir, Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali; Timbalan Pengarah KDNKA WCB/PSK Bukit Aman, SAC Azlin Sadari dan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.Razarudin berkata Harimau Malaya terus diancam kepupusan akibat aktiviti pemburuan haram dan usaha memelihara habitat ini bakal membawa semula keseimbangan ekosistem negara.
"Permintaan tinggi terhadap hampir setiap bahagian pada Harimau Malaya menyebabkan nilai pasaran spesies terancam itu mencecah RM259,000 seekor ketika ini.
"Jika dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), pemburuan haram Harimau Malaya yang direkodkan sejak 2021 hingga 2022 sebanyak 71 kes," katanya.
Katanya, setakat ini WCB/PSK dianggotai oleh 78 pegawai dan anggota malah biro berkenaan akan menggunakan kepakaran polis dalam bersama-sama membantu Perhilitan dan agensi kerajaan berkaitan dalam usaha menangani isu terbabit.
"Buat masa ini kekuatan biro ini mencukupi kerana dalam KDNKA kami ada bantuan daripada 69 Komando, Unit Tindakan Khas (UTK) dan kepakaran anggota Senoi Praaq yang boleh membantu.
"Kami percaya kerjasama baik dan mapan ini dapat diteruskan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!