Bantuan kepada golongan miskin perlu diselaras - Mohd Naim

Mohd Na'im. - Foto Bernama.
Mohd Na'im. - Foto Bernama.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Bantuan kepada golongan miskin tegar perlu diselaraskan bagi memastikan agihan dibuat lebih sistematik, teratur dan berkesan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, bagi tujuan itu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memudahkan permohonan golongan berkenaan selain mengelakkan kes pertindihan (bantuan).

"Dalam konteks ini, kita boleh mempertimbangkan agar DBKL dan JKM bertindak sebagai agensi utama sementara MAIWP sentiasa bersedia untuk membantu dan memberi sokongan,” katanya kepada pemberita semasa menjalankan Program Jejak Gelandangan di Lorong Haji Taib, di sini malam tadi.

Mohd Na’im berkata, dengan adanya kerjasama antara MAIWP bersama JKM dan DBKL, beliau percaya lebih banyak rumah transit dapat dibina dan lebih banyak golongan gelandangan boleh diselamatkan.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata, Program Jejak Gelandangan dijalankan bersama sebuah badan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Jejak Jalanan khususnya untuk menyantuni gelandangan dan bekas gelandangan selain merupakan satu pendekatan MAIWP sebagai agensi yang menerima zakat.
Artikel Berkaitan:


"Program ini secara khusus berobjektifkan untuk menimbulkan keinsafan apabila bertemu dengan mereka yang berada dalam kesusahan,” katanya yang meluangkan masa menyantuni rakan jalanan di sekitar ibu negara termasuk di Lorong Haji Taib 2, Medan Tuanku, Segi College, Bangkok Bank, Masjid Jamek dan Masjid Negara. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!