Cadang prosiding JKPK siar secara langsung

Kah Woh ketika ditemui pemberita pada Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Inisiatif Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Sifar Sisa Bersamamu Madani (SSBM) di PPR Simpang Perdana, Taiping pada Sabtu.
Kah Woh ketika ditemui pemberita pada Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Inisiatif Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Sifar Sisa Bersamamu Madani (SSBM) di PPR Simpang Perdana, Taiping pada Sabtu.
A
A
A

TAIPING - Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh mencadangkan supaya mesyuarat atau prosiding melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat disiarkan secara langsung.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu berkata, siaran langsung itu akan memberi peluang kepada rakyat mendengar dan memahami isu-isu terkini.

"Saya hendak cadangkan kepada Speaker Dewan Rakyat, dalam proses di Parlimen bukan sahaja terbatas kepada perbahasan sahaja, kita ada jawatankuasa pilihan khas seperti PAC dan lain-lain yang peranannya dimainkan oleh semua ahli Parlimen.

"Sehingga kini kita masih tidak dapat melaksanakan penyiaran secara langsung bagi JKPK. Selain menyaksikan di Dewan Rakyat, Saya percaya rakyat ingin tahu apa yang berlaku dalam prosiding atau mesyuarat JKPK yang dihadiri pegawai kanan kerajaan dan menteri itu.

"Sekiranya tidak diberikan siaran langsung, kita perlu menunggu laporan sehingga lima bulan atau setahun untuk dibentangkan di Parlimen. Itulah sebab kenapa setiap prosiding daripada mana-mana jawatankuasa perlu ditayangkan secara langsung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Inisiatif Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Sifar Sisa Bersamamu Madani (SSBM) di PPR Simpang Perdana dekat Simpang di sini pada Sabtu.

Kah Woh mengakui ada peraturan yang perlu dipatuhi bagi melaksanakan siaran langsung itu.

"Memang saya tahu ada batasan dari segi 'standing order' atau Perintah Tetap tetapi bagi saya harus dipinda bagi membolehkan prosiding-prosiding tersebut dilaksanakan secara langsung.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada PAC, Jawatankuasa Perintah Tetap selain 10 JKPK yang ditubuhkan Mac lalu yang dipengerusikan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

"Apa yang penting bagaimana kita hendak pastikan kesemua JKPK ini memainkan peranan masing-masing sebagai semak dan imbang dari Parlimen ke pentadbiran kerajaan," katanya.

Pada masa sama, Kah Woh menyambut baik langkah serius yang akan diambil Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul termasuk memotong elaun Ahli Parlimen yang tidak hadir ketika sesi sidang Parlimen.

"Inisiatif ini baik dan positif supaya prestasi Ahli Parlimen dapat dipantau.

"Tanggungjawab setiap ahli Parlimen bukan sahaja kepada rakyat di kawasan tetapi membawa mandat dengan memastikan suara mereka dapat didengar di Parlimen," katanya.

Media melaporkan Johari perlu melaksanakan sesuatu yang lebih ketat untuk meningkatkan kehadiran ahli Parlimen kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan parlimen yang diwakili.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!