Ford Mustang disita guna nombor pendaftaran palsu

Ford Mustang yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor di Jalan Kapar pada Jumaat.
Ford Mustang yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor di Jalan Kapar pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Tindakan seorang lelaki memandu kereta Ford Mustang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengundang padah apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di sekitar Jalan Kapar di sini, pada Jumaat

Timbalan Pengarah JPJ negeri, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, rondaan dijalankan anggotanya kira-kira jam 11.40 pagi mendapati kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati kenderaan terbabit dipandu seorang penjual kereta berumur 36 tahun.

"Kenderaan itu juga dikesan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain selain semakan mendapati ia belum berdaftar dan tiada rekod dalam sistem JPJ," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan mendapati kenderaan terbabit dalam proses penukaran nama dengan pemilik baharu.

"Notis dikeluarkan berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen dan kenderaan telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.

"Kenderaan terbabit kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor bagi siasatan lanjut," katanya.

Tegas Ahmad Kamarunzaman, pihaknya memandang serius perkara seumpama itu dan sentiasa menjalankan pemantauan berterusan ke atas semua jenis kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Ia bagi memastikan pengguna sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

"Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!