Pesawah kecewa harga padi jatuh teruk
ALOR SETAR - Pesawah di Kampung Kuar Jawa, Alor Janggus, dekat sini, yang kecewa harga padi jatuh sehingga RM1,250 per tan memohon kerajaan supaya membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Sungai, Salleh Ali, 60, berkata, pesawah di kawasan tersebut memohon kerajaan mengkaji dan menaikkan semula harga padi kepada RM1,700 per tan berikutan kenaikan kos yang perlu ditampung mereka hari ini.
"Semua sedia maklum bahawa kami petani terpaksa menanggung kos yang tinggi iaitu bermula penanaman padi sehinggalah selesai padi dituai, kos meningkat ini tidak diambil peduli.
"Bila kami terpaksa menanggung kos meningkat, hasil yang kami peroleh per tan semakin mengecil berbanding dengan usaha dan masa kami sebelum ini," katanya semasa ditemui di Kampung Kuar Jawa, dekat sini, pada Sabtu.
Lebih 30 pesawah berkumpul menyatakan rasa tidak puas hati selepas harga padi turun mendadak sehingga menjejaskan pendapatan mereka pada musim menuai ini.
Salleh berkata, bagi tanaman padi yang diusahakan sendiri oleh pesawah, kira-kira RM1,200 modal perlu diperuntukkan bagi mengusahakan tanaman bagi keluasan satu relung (0.2880 hektar) di Kedah.
Sementara itu, Ahli Jemaah Pengarah PPK Jerlun, Mohd Sobri Osman, 60, berkata, terdapat pesawah yang sempat mendapat hasil padi yang dijual pada harga RM1,700 per tan sebelum harga tersebut turun mendadak.
Menurutnya, hasil tersebut tidak dapat dinikmati oleh semua pesawah apabila masih ada hampir 50 peratus tanaman padi yang belum dituai.
"Pesawah mengharapkan jika harga tidak dapat dinaikkan kembali kepada RM1,700, mereka dapat harga RM1,500 pun sudah bersyukur," ujar beliau.
Seorang pesawah, Lim Han Bon, 38, yang mengusahakan tanaman seluas hampir 29 hektar berkata, terdapat pesawah masih dibebani hutang dan harga padi yang jatuh dilihat akan terus menekan kehidupan golongan tersebut.
Ujarnya, bukan semua pesawah dapat hasil padi yang baik kerana bergantung kepada faktor cuaca.
"Dengan harga RM1,250 ini tidak patut dan memang tidak dapat buat bendang. Kosnya tinggi. Saya sempat dapat hasil untuk RM1,700 dalam tempoh dua minggu tapi sekarang tuai dapat harga RM1,250 lah," katanya.
Pada Rabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan pesawah masih mendapat RM1,700 satu tan bagi harga jualan padi mereka memandangkan kerajaan kekal memberikan subsidi RM500 bagi setiap tan padi.
Beliau berkata, pemberian insentif Skim Subsidi Harga Padi sebanyak RM500 per tan kepada pesawah tetap diteruskan dan kerajaan hanya meletakkan harga lantai belian padi oleh pengilang iaitu pada kadar RM1,200 per tan sejak 2014.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!