Lebih 3,000 sekolah digazet sebagai PPS hadapi banjir

Lebih 3,000 sekolah di seluruh negara digazetkan sebagai pusat pemindahan banjir (PPS). Gambar fail
Lebih 3,000 sekolah di seluruh negara digazetkan sebagai pusat pemindahan banjir (PPS). Gambar fail
A
A
A

PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Lebih 3,000 sekolah di seluruh negara digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persediaan menghadapi bencana alam itu, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, jawatankuasa banjir Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah mengadakan mesyuarat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menyelaraskan persediaan PPS terlibat.

"Sekolah yang digazetkan sebagai PPS telah bersedia, insya-ALLAH kita berdoa supaya dipermudahkan urusan, paling penting kita perlu ingatkan murid dan guru untuk sentiasa menjaga nyawa serta keselamatan masing-masing dalam menghadapi ujian cuaca ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agrotek Madani@KVKPM 2023 di Kolej Vokasional Pasir Puteh yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM akan turut mewujudkan bilik gerakan banjir bagi memantau keadaan PPS yang telah digazetkan itu.

"Selain itu, kita juga akan buat tambah baik fasiliti di PPS dan mengadakan latihan persediaan.

"Dari segi operasi contohnya pemindahan aset sekiranya ada ramalan daripada MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia), kita akan buat pemindahan aset segera. Kita juga telah sediakan kerusi dan meja plastik supaya lebih mudah serta menjamin keselamatan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!