6 terbunuh, ratusan tercedera dalam serangan balas Hamas, Al-Qassam ke atas Israel
GAZA - Seramai enam orang disahkan terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam kejadian serangan balas Pejuang pembebasan Al-Quds dan Briged Al-Qassam Hamas pada pagi Sabtu, susulan pencerobohan rejim Israel di Palestin.
Selain serangan kira-kira 5,000 peluru berpandu yang dilancarkan, media antarabangsa melaporkan pejuang Palestin juga telah berjaya melolosi Sempadan Gaza, yang terletak di Selatan Israel dengan visual menujukkan beberapa orang tentera Israel telah ditahan dalam keadaan cedera.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Richard Hecth memberitahu media, serangan itu merupakan kombinasi melalui paraglider, laut dan darat.
Dalam visual yang diterbitkan Al-Qassam, kelihatan beberapa orang pejuang mereka berjaya melepasi sempadan yang dikawal pasukan tentera, dengan menaiki motosikal.
Selain itu, beberapa orang awam dan polis Israel dilihat melakukan serangan bersenjata terhadap pejuang Hamas di bandar Sderot, yang terletak di Selatan Israel.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau telah mengarahkan 'pembersihan' ke atas penempatan tentera Palestin yang menyerang Israel.
ARTIKEL BERKAITAN:Hamas isytihar serangan terbesar, bedil 5,000 peluru berpandu ke atas Israel
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ini bukan sebarang operasi, ini peperangan' - Netanyahu
ARTIKEL BERKAITAN: Hamas isytihar perang mengejut
Berikrar bahawa Hamas dan Al-Qassam akan menanggung kesannya, Netanyahu berkata, beliau telah mengarahkan pergerakan tentera secara besar-besaran.
Awal hari ini, Ketua Angkatan Tentera Penentang dan Briged Al-Qassam, Muhammad Al-Deif dilaporkan sebagai berkata, Israel tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan, sehingga mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa dan membunuh ratusan warga Palestin.
"Kami telah memberi amaran kepada pihak Israel sebelum ini. Mereka menyerang Morabitun (Jawatankuasa Penjaga al-Aqsa) dan penjaga-penjaga Masjid al-Aqsa, dan kami telah beri amaran supaya mereka hentikan tindakan itu. Israel berani mencemarkan kesucian Masjid al-Aqsa,” tegasnya lagi.
Menurut kenyataan itu lagi, kumpulan pembebasan Palestin membuat keputusan untuk menoktahkan segala jenayah yang dilakukan oleh penceroboh Israel, dan mengumumkan bermulanya operasi Al-Aqsa.
Operasi tersebut akan menyasarkan lapangan terbang dan kubu tentera, dengan menggunakan lebih 5,000 peluru berpandu.
Muhammad Al-Deif turut menyeru semua pejuang pembebasan untuk melancarkan serangan ke atas pendudukan Israel dengan apa cara dan peralatan yang ada, sekali gus menamatkan koordinasi keselamatan dengan pihak Israel. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!