Hamas isytihar perang mengejut

Asap tebal memenuhi ruang udara di kawasan penempatan di Gaza City selepas rejim Zionis melancarkan serangan balas pada Sabtu. - Foto AFP
Asap tebal memenuhi ruang udara di kawasan penempatan di Gaza City selepas rejim Zionis melancarkan serangan balas pada Sabtu. - Foto AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Lebih 5,000 roket dibedil dari Genting Gaza ke wilayah Israel pada Sabtu selepas sayap bersenjata Hamas mengumumkan pelancaran 'Operation al-Aqsa Flood'.

"Kami memutuskan untuk menamatkan seluruh perbuatan jenayah rejim Zionis. Era pendudukan mereka tanpa diheret ke muka pengadilan sudah berakhir," tegas Briged al-Qassam dalam satu kenyataan selepas pelancaran roket pertama pada jam 6.30 pagi (waktu tempatan).

Perang berskala besar yang diisytiharkan secara mengejut oleh Hamas itu berlaku setelah ketegangan memuncak pada bulan lalu apabila pihak berkuasa Israel menutup lintasan sempadan yang menghubungkan wilayah Gaza selama dua minggu.

Sebagai respons terhadap hujan roket tersebut, tentera Israel juga bertindak melancarkan serangan udara ke atas beberapa kedudukan Hamas di Genting Gaza yang berada di bawah kepungan haram sejak 2007.

"Kumpulan penentang Palestin telah memulakan perang. Kami tidak akan berdiam diri. Tentera kami terus menangkis serangan musuh di setiap kedudukan," ujar Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.

ARTIKEL BERKAITAN:Hamas isytihar serangan terbesar, bedil 5,000 peluru berpandu ke atas Israel

ARTIKEL BERKAITAN: 6 terbunuh, ratusan tercedera dalam serangan balas Hamas, Al-Qassam ke atas Israel

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ini bukan sebarang operasi, ini peperangan' - Netanyahu

Artikel Berkaitan:

Beberapa rakaman video yang menjadi tular di media sosial juga menunjukkan kemaraan kumpulan pejuang Hamas di beberapa lokasi dan memusnahkan kenderaan tentera Israel.

Sementara itu, jurucakap Hamas, Khaled Qadomi menegaskan operasi ketenteraan itu adalah sebagai tindak balas kepada kekejaman dan penindasan berterusan ke atas penduduk Palestin yang berlarutan selama beberapa dekad.

"Kami mahu komuniti antarabangsa menghentikan pencerobohan melampau ke atas Masjid al-Aqsa. Tindakan provokasi seperti itu adalah antara punca utama yang mencetuskan peperangan ini.

"Situasi pada hari ini adalah peperangan menentang penceroboh," ujarnya yang turut menyelar pendatang haram Yahudi yang sewenang-wenangnya merampas tanah penduduk Palestin.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan turut mengulas perkembangan konflik terbaharu itu.

"Kita sedang berperang dan pastinya akan menang. Musuh kita akan menanggung akibat yang tidak dapat mereka bayangkan," katanya yang seakan-akan memperkecilkan keupayaan Hamas.

Krisis yang semakin tegang menyebabkan ratusan penduduk di timur Gaza yang terletak bersempadan Israel terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Sekurang-kurangnya 34 penduduk Palestin dilaporkan terkorban dalam insiden berbalas serangan ketika konflik memuncak pada Mei lalu.

Sejak awal tahun lalu, konflik tidak berkesudahan itu telah meragut 247 nyawa penduduk Palestin. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!