FAMA disaran beri sokongan logistik hantar beras ke pedalaman
KOTA KINABALU - Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin akan membawa cadangan untuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi sokongan dalam isu logistik membawa beras ke kawasan pedalaman.
Beliau berkata, langkah itu telah dilaksanakan di Semenanjung di mana kerajaan mengeluarkan dana untuk FAMA sebagai kos logistik bagi penjualan beras putih tempatan di kawasan pedalaman.
"Apa yang kita umumkan di Semenanjung mereka lebih utamakan beras putih tempatan, jadi kerajaan akan bayar kepada FAMA untuk kos logistik supaya dapat menanggung penjualan di kawasan pedalaman.
"Cuma konteks di Sabah ini saya akan bawa cadangan sama kepada FAMA. Jadi kita akan lihat bagaimana keadaannya," katanya kepada pemberita ketika meninjau harga beras putih import yang baharu di pasar raya Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Sementara itu, diminta mengulas berhubung isu harga padi yang menurun sehingga menyebabkan pesawah di Selangor tawar hati, beliau berkata, sebab itu perlunya konsep seperti di Sabah dan Sarawak yang tidak menetapkan harga siling untuk beras putih tempatan.
"Konsepnya begini, saya suruh kamu pergi bercucuk tanam, selepas itu sejak 2008 gaji tidak pernah naik, jadi adakah kamu mahu teruskan tanaman?
"Jadi kena ada satu mekanisme pasaran di mana pesawah akan mendapat keuntungan, apa yang berlaku di Semenanjung sekarang ini kita tertekan dengan pelbagai faktor, kita kena jaga rakyat, kita nak jaga pesawah.
"Apa yang rakyat harapkan adalah satu harga siling, jadi kerajaan melalui pelbagai bantuan dan subsidi diberikan kepada pesawah untuk membantu mereka," jelasnya.
Sebelum itu, difahamkan lebih 800 pesawah di Selangor mulai tawar hati apabila harga padi menurun daripada RM1,680 setiap tan matrik kepada RM1,250.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!