PRK Pelangai: Bapa tiga anak pengundi terakhir

Abdul Malik
Abdul Malik
A
A
A

BENTONG - Bapa kepada tiga anak bersyukur kerana masih sempat untuk memberikan satu undi kepada calon pilihannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Sabtu.

Abdul Malik Mohd Isa, 28, memaklumkan selesai menunaikan tanggungjawab itu kira-kira jam 5.45 petang.

"Puas hati masih sempat mengundi. Kalau tidak undi, saya tidak puas hati.

"Saya datang lambat ini sebab ada urusan keluarga dan perlu mengambil kakak ipar di stesen bas di Temerloh untuk mengundi," katanya ketika ditemui di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi di sini, pada Sabtu.

Dia yang menetap di Felda Chemomoi berkata, ini kali kedua mengundi dan pastinya peluang untuk memilih wakil rakyat tidak akan dilepaskan.

Proses pengundian PRK DUN Pelangai yang bermula 8 pagi, tamat selepas sembilan pusat mengundi ditutup sepenuhnya pada 6 petang ini.

Pintu di pusat mengundi di SMK Felda Chemomoi secara rasmi ditutup pada jam 6 petang.
Pintu di pusat mengundi di SMK Felda Chemomoi secara rasmi ditutup pada jam 6 petang.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi dari 30 saluran dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, sebelum keputusan rasmi diumumkan malam ini.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Pada PRK kali ini, Perikatan Nasional (PN) menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Kasim Samat yang mesra dengan panggilan Cikgu Kasim.

BN pula meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam, manakala seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga bertanding merebut kerusi tradisi UMNO itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!