Proses pengundian PRK Pelangai berjalan lancar - Polis
BENTONG - Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang tamat pada jam 6 petang tadi berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku, kata Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.
Beliau ketika dihubungi Bernama malam Sabtu berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan gangguan terhadap proses pengundian yang bermula pada jam 8 pagi di sembilan pusat mengundi.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, sepanjang 14 hari tempoh berkempen, 95 permit ceramah dan kempen telah diluluskan selain dua laporan polis diterima.
PRK berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!