PRK Pelangai: BN kekal mandat tapi majoriti merosot

Amizar (lima dari kanan) berjaya meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, sebagai wakil rakyat kawasan DUN Pelangai.
Amizar (lima dari kanan) berjaya meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, sebagai wakil rakyat kawasan DUN Pelangai.
A
A
A

BENTONG - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.

Keputusan itu menyaksikan majoriti diperolehi merosot berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.

Dengan kemenangan itu, BN terus mengekalkan 17 kerusi DUN, sama jumlah dengan Pakatan Harapan (PH) manakala PN kekal dengan lapan kerusi.

Pengisytiharan keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Pengiraan Undi SPR di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul pada Sabtu.

PRK Pelangai juga merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 72.12 peratus daripada 16,456 pengundi.

Jumlah tersebut kurang sedikit daripada sasaran awal 75 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Sementara itu, mengulas mengenai kemerosotan majoriti yang diperoleh BN, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan memandangan ia melibatkan PRK.

Artikel Berkaitan:

Namun beliau akan mengambil perhatian perkara tersebut.

"Yang penting kita telah berusaha sehabis baik. Insya-ALLAH kita akan lihat mengapa terjadi begitu dan kita akan baiki di masa-masa akan datang," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, rekod undi dari pusat daerah mengundi (PDM) bukan Melayu yang dimenangi BN menunjukkan pengundi menerima kerjasama BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan.