160 rakyat Palestin, 40 penduduk Israel dilapor terbunuh dalam peperangan
SEMPADAN GAZA - Sekurang-kurangnya 160 rakyat Palestin terbunuh, manakala ribuan lagi tercedera susulan serangan balas yang dilancarkan oleh rejim zionis Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Agensi berita Al-Jazeera melaporkan, seramai 40 penduduk Israel pula terbunuh, manakala angka mereka yang tercedera susulan serangan awal oleh Pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam pada pagi Sabtu, mencecah 750 orang.
Jurucakap Kementerian Luar Palestin dilaporkan sebagai berkata, penamatan pemilikan penempatan secara haram oleh Israel di tanah Palestin adalah satu-satunya jaminan untuk keselamatan, kestabilan, dan keamanan.
Dalam satu kenyataan, kementerian tersebut berkata, pejuang Palestin telah beberapa kali memberi amaran tentang kemungkinan yang bakal terjadi sekiranya Israel berterusan merampas tanah, dan melakukan tindakan provokasi seperti menyerbu Masjidil Al-Aqsa.
Dalam pada itu, sumber risikan Israel memberitahu Al-Jazeera bahawa lebih kurang 1,000 rakyat Palestin kini sudah melepasi sempadan di Israel, dan situasi tersebut terjadi buat pertama kalinya sejak 1948.
Dalam pada itu Amerika Syarikat berikrar akan memastikan Israel mendapat apa jua yang diperlukan untuk ia ‘mempertahankan’ diri dari serangan Palestin.
Ikrar itu turut senada dengan pandangan beberapa negara Eropah seperti Jerman, Sepanyol, Perancis, termasuk Kesatuan Eropah yang menyifatkan serangan balas Hamas itu bersifat diskriminasi.
Dalam pada itu, penasihat Pemimpin Agung Iran, Ali Hosseini Khamenei berkata, negara itu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin, manakala kumpulan Hezbollah dari Lubnan sedang berhubung secara terus dengan kepimpinan Palestin. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!