Warga emas rugi RM717,050 terpedaya pelaburan kripto tidak wujud

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki warga emas di Tanjung Malim kerugian RM717,050 selepas menjadi mangsa pelaburan mata wang kripto tidak wujud sejak Mei lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang merupakan pesara pengawal keselamatan berusia 67 tahun, membuat laporan polis hari ini selepas menyedari dirinya ditipu.

"Mangsa telah melihat satu iklan pelaburan mata wang kripto di laman sosial Facebook atas nama Yomaex Crypto Market Limited pada 22 Mei lepas dan menghubungi ejen syarikat tersebut yang mendakwa berpangkalan di Paris, Perancis.

"Lelaki itu menyatakan minatnya untuk melabur dan diminta memuat turun sebuah aplikasi untuk tujuan pelaburan,” katanya dalam kenyataan malam Sabtu.

Mohd Yusri berkata, mangsa kemudian membuat pindahan wang berjumlah RM8,000 ke dalam akaun yang diberikan bagi pengaktifan e-dompet dan modal permulaan pada 13 Julai lepas.

Menurutnya pada permulaan pelaburan, mangsa melihat wang sebanyak AS$14,985 dikreditkan ke dalam akaun dompet miliknya.

"Ini membuatkan mangsa semakin yakin dan telah membuat penambahan modal melibatkan 17 transaksi ke 10 akaun bank berbeza dan perlu menunggu selama dua bulan untuk tempoh matang.

Artikel Berkaitan:

"Pada 5 Oktober, mangsa melihat wang di dalam e-dompet laman sesawang pelaburan tersebut telah bertambah menjadi AS$1.5 juta, namun mangsa gagal membuat pindahan wang ke akaun miliknya,” katanya.

Mohd Yusri berkata, warga emas itu telah diminta memasukkan wang berjumlah RM300,000 kononnya sebagai cukai pindahan wang, tetapi dia tidak melakukannya.

Menurutnya, mangsa kemudian mendapati akaun e-dompetnya kosong dan aplikasi pelaburan itu tidak dapat diakses lagi kononnya disekat oleh pihak Bank Negara.

Bagaimanapun, beliau berkata,setelah membuat semakan di Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, mangsa mendapati pelaburan tersebut tidak berdaftar dengan Bank Negara.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!