Bukan pilih bulu, SPRM jalan tugas secara tegas, profesional - Azam

Azam - Foto Bernama
Azam - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus melaksanakan tugas dengan tegas dan profesional mengikut bidang kuasa diperuntukkan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan melakukan siasatan ke atas peguam terlibat dalam usaha mendapatkan semula aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh kerajaan.

Tegas beliau, siasatan ke atas peguam tersebut tiada kena-mengena dengan jawatannya sebagai peguam kepada mana-mana individu atau parti.

Jelas beliau, peguam terbabit merupakan seorang daripada beberapa individu yang disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Haram 2001.

"Untuk makluman, SPRM sedang giat menjalankan siasatan ke atas isu yang melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dengan usaha pemulihan aset 1MDB oleh kerajaan.

"Kertas siasatan telah dibuka pada 3 Oktober 2023 berikutan maklumat yang diterima dan siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang peguam peribadi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bahawa SPRM menyerbu firma guamannya pada jam 10.30 pagi, Jumaat.

Peguam tersebut merupakan seorang daripada pasukan pembelaan Muhyiddin berhubung kes dihadapinya sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Dipercayai seramai 12 pegawai SPRM menyerbu firma guaman tersebut yang menuntut kuasa penyiasatan untuk mengakses seluruh pejabatnya.

Namun Muhyiddin pada Sabtu menyifatkan serbuan SPRM itu sebagai salah guna kuasa.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghentikan kezaliman terhadap pembangkang dan memfokuskan tumpuan kepada ekonomi negara serta membantu rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!