Joe Ee beraksi di final dalam kesakitan
ATLET gimrama negara, Ng Joe Ee beraksi dalam keadaan menahan kesakitan di belakang badan dan buku lali kiri ketika menduduki tempat ke-11 pada pusingan akhir acara individu all-around Sukan Asia Hangzhou 2022 di Gimnasium Pusat Sukan Huanglong di sini, malam ini.
Pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 dalam disiplin bola dan riben itu berkata, kecederaan itu dialami ketika menjalani kem latihan di Korea Selatan, kira-kira seminggu sebelum Sukan Asia dan mengakui ia memberinya masa yang sukar untuk menjalani latihan dengan sempurna.
Namun, pemenang pingat perak dalam acara individu all-around pada Sukan SEA Vietnam berusia 17 tahun itu berkata beliau tidak terlalu memikirkan mengenai masalah yang dihadapi sewaktu beraksi dalam pusingan kelayakan semalam dan akhir, kerana mahu meraih pencapaian terbaik.
"Saya berjumpa doktor dan katanya ligamen saya koyak, jadi dalam minggu lepas sebelum pertandingan saya tidak boleh berdiri dengan ibu jari kaki ... amat sukar buat saya, dan belakang saya sakit semasa melakukan regangan.
"Semasa pertandingan (semalam dan hari ini) masih dalam kesakitan tetapi saya tetap berusaha kerana saya mahu keputusan yang baik di Sukan Asia,” katanya ketika ditemui selepas final, di sini.
Pada final, Joe Ee mengumpul keseluruhan 116.250 mata selepas meraih 28.800 dalam disiplin gelung, diikuti bola (31.550), belantan (27.700) dan riben (28.200) untuk berada di tempat ke-11 daripada keseluruhan 23 peserta.Pingat emas dimenangi Takhmina Ikromova dari Uzbekistan selepas mengumpul 131.300 mata sementara perak diraih Elzhana Taniyeva dari Kazakhstan (130.700) dan Milana Parfilova juga dari Kazakhstan membawa pulang gangsa selepas memungut 130.050 mata.
Mengulas lanjut, Joe Ee yang membuat penampilan pertamanya di Sukan Asia berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan kedudukan ke-11 selepas menamatkan pusingan kelayakan di posisi ke-12.
"Saya berpuas hati dengan kedudukan 11 teratas, semoga di dalam temasya sukan besar akan datang saya akan mendapat keputusan yang lebih baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!