Masalah kutipan sampah di Pulau Redang
KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Penduduk Pulau Redang di sini memohon agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menyediakan tongkang sebagai langkah akhir untuk membantu menyelesaikan masalah kutipan sampah yang dialami sejak lebih setahun lalu.
Tinjauan Sinar Harian di Pulau Redang di sini pada Ahad mendapati banyak longgokan sampah yang masih belum dikutip berdekatan bangsal nelayan di Kampung Baru di sini.
Keadaan itu menyebabkan kebanyakan penduduk yang berada di kawasan tersebut tidak selesa dengan bau busuk yang datang dari longgokan sampah berkenaan.
Seorang penduduk, Johasman Husin, 44, berkata, masalah itu berlaku disebabkan sampah-sampah itu tidak habis dikutip setiap kali ia dipunggah menggunakan bot untuk dibawa keluar dari pulau ke tanah besar.
"Setiap hari sekitar 3 tan sampah dikumpulkan daripada pulau ini namun kita difahamkan hanya 1.5 hingga 2 tan sahaja yang dikutip untuk dibawa keluar.
"Apabila berlaku keadaan itu, sampah-sampah lama yang tidak dikutip akan terus terbiar di situ kerana terdapat sampah-sampah baharu yang dikumpulkan," katanya.
Johasman yang bekerja sebagai nelayan berkata, sampah itu dikutip tiga kali seminggu menggunakan dua buah bot.
Katanya, kapasiti bot itu tidak mampu menampung jumlah sampah yang banyak dalam satu-satu masa.
"Dua buah bot mana cukup untuk bawa sampah-sampah ini keluar. Lagipun hanya ada dalam lima, enam orang pekerja sahaja yang mengutip sampah itu dalam satu-satu masa.
"Mereka juga akan kutipan sampah di semua rumah inap di sini terlebih dahulu sebelum ke lokasi terakhir iaitu di tempat pengumpulan sampah-sampah di sini.
"Kalau mahu isu sampah ini segera diselesaikan, saya rasa perlu sediakan sebuah tongkang untuk kutip terus semua sampah-sampah ini dan tiada lagi lebihan sampah yang ditinggalkan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Lazim Jusoh, 71, berkata, penduduk sudah tidak tahan berdepan bau busuk dari sampah yang terbiar di kawasan itu.
Katanya, bangsal nelayan yang sebelum ini menjadi lokasi untuk mereka berehat pada sebelah petang kini lengang kerana bau sampah yang mengganggu aktiviti riadah penduduk di sekitar lawasan itu.
"Kalau dulu ramai yang datang ke bangsal ini bersam keluarga untuk makan berehat sambil makan tengah hari atau minum petang, namun sekarang aktiviti itu tidak dapat diteruskan.
"Bau busuk dari sampah-sampah itu mengganggu dan mendatangkan suasana yang tidak selesa kepada kira-kira 2,000 penduduk di pulau ini," ujarnya.
Menurut Mahadi Mustafa, 53, mereka difahamkan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah membuat aduan kepada PBT namun situasi itu dilihat tidak banyak berubah.
"Dulu tak ada masalah pun dengan kutipan sampah ni sebab hampir setiap hari ada kontraktor yang datang ambil sampah ni. Bila berlaku macam ni sampah akan terbiar.
"Keadaan ini memberi kesan lebih buruk selepas berlaku hujan dan cuaca panas. Bau sampah semakin kuat dan dapat dihidu dari jauh.
"Selain itu, ia juga menjadi lokasi pembiakan tikus, lalat dan serangga berbisa yang turut beri kesan terhadap kesihatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!