Israel bunuh enam pemuda Palestin termasuk remaja 13 tahun
RAMALLAH - Tentera rejim Zionis menembak mati enam pemuda Palestin termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Tebing Barat.
Pembunuhan tersebut berlaku ketika Hamas yang menguasai Genting Gaza membedil 5,000 roket ke wilayah Israel pada Sabtu yang merupakan serangan terbesar dalam tempoh beberapa tahun ke atas negara haram itu.
Menurut laporan agensi berita Wafa yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin menyebut bahawa dua mangsa iaitu Mahmoud Bassem Akhmis dan Youssef Nader Suleiman Idris ditembak menggunakan peluru hidup semasa serbuan tentera Israel di al-Khalil (Hebron).
Dua pemuda dari Ramallah, Muhammad Awad Jarboua dan Amr Youssef Ibrahim Abed turut ditembak mati, disusuli pembunuhan Karam Nasser al-Aidi berhampiran pintu masuk bandar Ariha (Jericho).
Laporan itu menambah, remaja lelaki berusia 13 yang ditembak menggunakan peluru hidup oleh tentera Israel dikenali sebagai Ahmed Abdel Nasser Rabi.
Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian perut semasa serangan di Qalqilyah.
Lebih 200 rakyat Palestin maut di tangan tentera Israel sejak awal tahun ini di seluruh wilayah yang diduduki terutamanya di Tebing Barat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan 2023 sebagai tahun paling berdarah bagi rakyat Palestin di Tebing Barat sejak ia mula merekodkan angka kematian hampir dua dekad lalu.
Pembunuhan pada Sabtu di Tebing Barat itu berlaku di tengah-tengah 'Operasi Banjir al-Aqsa' yang dilancarkan kumpulan penentang Palestin terhadap Israel.
Setakat ini, kira-kira 300 warga Israel meninggal dunia dan ribuan lagi cedera.
Hamas dan sekutunya menyifatkan operasi itu sebagai jawapan tegas kepada kempen pertumpahan darah dan pemusnahan berterusan rejim Israel terhadap rakyat Palestin. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!