Tak sampai 24 jam menang, Amizar sudah dapat surat mohon bantuan

Amizar menerima surat permohonan bantuan ketika menyantuni pengundi dan minum pagi di Felda Chemomoi, pada Ahad.
Amizar menerima surat permohonan bantuan ketika menyantuni pengundi dan minum pagi di Felda Chemomoi, pada Ahad.
A
A
A

BENTONG - Belum 24 jam menjadi wakil rakyat, Datuk Amizar Abu Adam yang berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu sudah menerima permohonan bantuan ketika sesi jelajah mesra di Felda Chemomoi, pada Ahad.

Surat permohonan diterima ketika beliau sedang minum pagi dan menyantuni penduduk.

Amizar berkata, banyak permohonan dan aduan telah diterima sejak berkempen lagi namun hanya boleh direalisasikan selepas selesai PRK.

"Bukan hari ni saja tapi dah bermula daripada berkempen lagi. Cuma masa berkempen tak bolehlah (beri sumbangan).

"Alhamdulillah selain daripada surat-surat saya juga terima (permohonan) melalui WhatsApp.

"Kita menyantuni dan menyelesaikan apa yang mereka perlukan," katanya ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Dalam masa sama, beliau berkata manifesto bagi mewujudkan kemudahan stesen minyak di Simpang Pelangai kini dalam peringkat rundingan.

Katanya, dengan adanya stesen minyak itu nanti, ia akan menjadi nilai tambah kepada pembangunan 'Pelangai Gateaway' seperti yang dihasratkan.

Artikel Berkaitan:

"Di situ nanti, salah satunya kita akan dapat sekolah tahfiz di bawah Yayasan Prihatin Pahang dan di situlah tempat yang kita akan buat Mini Township.

"Township ini dilhamkan oleh Allahyarham (Datuk Seri Johari Harun. Insya-ALLAH kita akan teruskan rancangan dan kini ia dalam peringkay perbincangan dengan pihak Majlis (perbandaran Bentong)," katanya.

Sementara itu ditanya kesediaan beliau sekiranya berlaku petisyen bantahan terhadap kemenangan beliau di Pelangai, Amizar berkata, beliau terbuka ia adalah hak demokrasi.

"Tapi saya yakin dan percaya bahawa BN dan kita sendiri menjalankan kempen mengikut undang undang," katanya.

Pada Sabtu, BN berjaya mengekalkan DUN Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.

Keputusan itu menyaksikan majoriti diperoleh merosot berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Amizar memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!