Kejohanan e-sukan Piala Presiden Putrajaya tawar hadiah RM18,000
KEJOHANAN e-sukan Piala Presiden Putrajaya yang dianjurkan selama dua hari bermula Sabtu telah berjaya menarik penyertaan seramai 600 peserta.
Kejohanan yang mempertandingkan lima acara e-sukan iaitu Mobile Legends Bang Bang Terbuka (MLBB Open), Mobile Legends Bang Bang Tertutup Putrajaya (MLBB Putrajaya), PlayerUnknown's Battlegrounds Mobile Open (PUBGM Open), eFootball Mobile Open dan eFootbal Console Open menawarkan hadiah wang tunai RM18,000.
Ia merupakan kejohanan tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Esports Putrajaya berlangsung di Shaftsbury Putrajaya Mall dengan disertai oleh peminat-peminat e-sukan seluruh Putrajaya dan serata Malaysia.
Menurut Presiden Esport Putrajaya, Syed Fakhrurrozi Syed Agil, objektif utama penganjuran program itu untuk menjadikan Putrajaya sebagai hub e-sukan di Wilayah Persekutuan selain untuk mencari bakat-bakat baharu dalam e-sukan seterusnya mendapat pendedahan di peringkat lebih tinggi.
“Objektif kami menganjurkan program ini adalah untuk mengumpul peminat e-sukan di Putrajaya sebelum berlangsungnya Hari Sukan Negara yang akan disambut minggu depan di samping untuk menjadikan Putrajaya sebagai hab e-sukan di Wilayah Persekutuan.
“Melalui program ini juga pihak kami akan dapat mencungkil bakat-bakat baharu bagi mendapat pendedahan di peringkat lebih tinggi lagi selepas ini,” ujar Syed Fakhrurrozi.
Kejohanan itu telah dirasmikan oleh Pengarah Urusan Syarikat Ikhasas Sdn Bhd.
Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah yang telah menaja lokasi kejohanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!