Sukan Asia: Tiada tambahan pingat pada hari terakhir
HASRAT Kontinjen Malaysia untuk menambah kilauan pingat pada hari terakhir temasya Sukan Asia Hangzhou, tidak tercapai selepas atlet karate C. Shahmalarani tersingkir pada pusingan kedua.
Atlet berusia 25 tahun itu, yang merupakan atlet terakhir Malaysia beraksi di Sukan Asia kali ini, terpaksa akur dengan kehebatan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018 dari Iran, Sara Bahmanyar.
Pada pusingan 16 terakhir di Gimnasium Pusat Sukan Linping, Shahmalarani tewas 3-7, sekali gus terlepas peluang ke peringkat suku akhir pada penampilan pertamanya di Sukan Asia.
Terdahulu, beliau mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Jaman Saiama pada pusingan pertama.
Kem karate melabuhkan kempen Sukan Asia kali ini dengan sebutir emas menerusi Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (kumite bawah 84kg lelaki) serta dua perak menerusi Lovelly Anne Robberth (Kata individu wanita) dan trio Lovelly, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil (Kata berpasukan wanita).
Kontinjen Malaysia menamatkan cabaran Sukan Asia kali ini dengan meraih enam emas, lapan perak dan 18 gangsa atau sejumlah 32 pingat berbanding sasaran 27 pingat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!