Spurs pamer karakter sebenar - Postecoglou
JURULATIH Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou memuji karakter anak-anak buahnya ketika menewaskan pendatang baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), Luton Town 1-0 sambil Spurs beraksi dengan 10 pemain sepanjang masa kedua.
Beraksi di laman lawan pada Sabtu, Spurs terpaksa melepaskan Yves Bissouma yang dibuang padang pada masa tambahan babak pertama selepas menerima kad kuning kedua.
“Banyak perwatakan dan ketabahan yang ditunjukkan pasukan dalam perlawanan sebelum dan hari ini (Sabtu),” ujar Ange Postecoglou.
Bos Spurs tetap berpuas hati dengan persembahan para pemainnya sambil mengakui mereka sepatutnya berupaya untuk menyumbat lebih banyak gol, namun situasi berubah pada babak kedua.
“Kami bermula dengan sangat baik, sepatutnya tiga atau empat gol dapat dijaringkan, tetapi kemudian kami mendapat kad merah dan permainan tampil berbeza,” kata Postecoglou.
Dalam aksi itu, pemain pertahanan Belanda, Micky van de Ven menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-52.
Spurs kekal dengan rekod bersih selepas lapan aksi liga musim ini untuk mengutip 20 mata setelah menang enam perlawanan dan dua kali seri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!