SHMMP Hari Raya selama 30 hari, lebih banyak barangan disenaraikan
PUTRAJAYA - Tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa tahun ini lebih panjang iaitu 30 hari berbanding 15 hari sebelum ini dan membabitkan penambahan senarai barangan iaitu 27 jenis berbanding 21 sebelum ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tempoh 30 hari itu, yang bermula pada 21 Mei hingga 19 Jun, merangkumi 15 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 14 hari selepas hari perayaan.
"Tahun ini ada tambahan barangan berbanding pelaksanaannya pada tahun lepas,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub di sini hari ini.
"Senarai tambahan itu melibatkan ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering, katanya.
Barangan lain yang disenaraikan dalam skim itu ialah ayam (hidup, standard, super), telur ayam (gred A, B, C), daging lembu (tempatan, import), daging kerbau import (India), kobis bulat import, kelapa parut dan bawang (merah kecil India, besar import). Saifuddin turut mengumumkan pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan yang bermula 23 Mei hingga 5 Jun dan SHMMP Hari Gawai bermula 25 Mei hingga 7 Jun selama 14 hari.
"Tempoh 14 hari itu membabitkan tujuh hari sebelum, pada hari perayaan dan enam hari selepas hari perayaan berbanding tujuh hari pelaksanaannya sebelum ini,”katanya.
Sebanyak 14 jenis barangan terlibat dalam pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai berbanding 13 barangan sebelum ini dimana pertambahan itu membabitkan cili kering, katanya.
Bagi mengekang kenaikan harga tidak munasabah, Saifuddin berkata tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.
Sementara itu, Salahuddin berkata pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi sepanjang bulan Ramadan hingga sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan pertambahan 10 peratus jumlah bekalan berbanding tahun sebelumnya. Beliau berkata jualan Jimat Belanja Aidilfitri@Pasar Tani akan diadakan selama lima hari sebelum Aidilfitri di beberapa pasar tani terpilih bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan.
"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bekerjasama erat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam memastikan bekalan mencukupi serta harga bahan makanan berpatutan sepanjang musim perayaan ini,” katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!