Video tular bercanggah dengan artikel saya - Pengasas Wasiyyah Shoppe

Foto hiasan. Gambar kecil: Ariffin Sabirin
Foto hiasan. Gambar kecil: Ariffin Sabirin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin menegaskan video tular mengatakan kerajaan akan mengambil alih harta pusaka rakyat adalah bercanggah dengan maksud sebenar penulisan beliau dalam portal Dagang News.

Ujarnya, video tersebut disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai mengenai perkara tersebut.

“Harta pusaka seperti tanah dan wang tunai yang didaftarkan atas nama orang mati dan masih tidak diuruskan oleh waris atau anak-anak.

“Kerajaan secara aktifnya boleh memperkenalkan polisi tertentu, sebagai contoh pelepasan cukai kepada sumber ekonomi yang datang daripada peninggalan waris yang telah tiada.

“Harta-harta itu masih menjadi hak milik waris, cumanya perlu diuruskan dengan segera supaya ia tidak terbiar,” kata penulis kolumnis Anekdot Mawarith Dagang News kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, kandungan video yang tular itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen dengan dakwaan kerajaan akan melaksanakan pengambilan harta pusaka rakyat dalam Belanjawan 2024.

Portal Dagang News menyiarkan artikel tulisan Ariffin bertajuk Bajet 2024: Apa kerajaan boleh buat untuk gembleng harta pusaka sebagai sumber ekonomi negara? pada 13 September lalu.

Kementerian Kewangan (MOF) juga menegaskan kerajaan tidak mempunyai niat untuk berbuat sedemikian dan video tular berkenaan telah menjadi fitnah tidak berasas terhadap kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ariffin, pakar ekonomi dalam setiap seminar yang disertai beliau menjelaskan bahawa harta pusaka ialah satu faktor untuk menjana ekonomi negara.

“Jadi saya bagi pandangan, dalam banyak seminar yang saya pergi itu bahawa sebenarnya kita ada sumber ekonomi yang tidak digunakan iaitu harta pusaka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!