Bapa suspek tembakan di Siam Paragon mohon maaf

Penyerang berusia 14 tahun, menggunakan pistol peluru kapur yang diubah suai dengan melepaskan tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon, pada Selasa lepas. Foto AFP
Penyerang berusia 14 tahun, menggunakan pistol peluru kapur yang diubah suai dengan melepaskan tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon, pada Selasa lepas. Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Bapa kepada remaja lelaki bersenjata yang melakukan serangan di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok, memohon maaf kepada ibu kepada seorang daripada mangsa yang terkorban dalam tragedi Selasa lalu.

Lelaki memakai baju hitam itu melutut dan menangis, memohon maaf apabila beliau bertemu ibu kepada warga Myanmar berusia 31 tahun itu di Wat Phasuk Maneechak di daerah Pak Kret, Nonthaburi pada Sabtu.

Walaupun masih bersedih atas kehilangannya, wanita itu menerima permohonan maaf lelaki berkenaan.

"Ia bukan salah bapa tetapi lebih kepada anak anda,” katanya, lapor portal berita, Khaosod Online.

Wanita itu menambah, ibu bapa kepada remaja lelaki bersenjata tersebut pastinya sedang bersedih seperti dirinya.

Sementara itu, lelaki tersebut turut menawarkan wang kepada ibu mangsa. Wanita berkenaan bagaimanapun menolaknya dengan mengatakan tidak ada jumlah wang yang dapat menggantikan kehilangan anaknya.

Bapa suspek juga memberi penghormatan kepada mendiang.

Peristiwa yang menyayat hati itu berlaku pada Selasa lalu apabila penyerang berusia 14 tahun, menggunakan pistol peluru kapur yang diubah suai dengan melepaskan tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan itu mengakibatkan kehilangan nyawa, termasuk seorang warga China dan Myanmar manakala lima lagi cedera.

Pada Jumaat, dalam surat yang ditujukan kepada pihak yang terjejas, bapa remaja itu menyatakan kekesalan yang mendalam, dengan menyatakan:

"Saya dan keluarga dengan rendah hati ingin memohon ampun dan memohon maaf yang mendalam kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia, yang cedera dan keluarga mereka yang paling terkesan dengan peristiwa ini dan kepada semua orang dari lubuk hati yang paling dalam, dengan setinggi-tinggi penghormatan kami.

"Kami juga amat kesal dengan kerosakan dan impak kepada negara secara keseluruhan," kata bapa itu dalam sepucuk surat.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di Bangkok dan suami isteri di wilayah Prachuap Khiri Khan yang disyaki menjual peluru secara haram kepada remaja lelaki bersenjata itu.

Polis menyerbu sebuah rumah di Daerah Bang Khae di Bangkok pada Sabtu, merampas sepucuk pistol automatik Glock, revolver Smith & Wesson dan 2,765 butir peluru pelbagai jenis. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!