Orang Asli dakwa beras dijual mahal di penempatan mereka

Anglah mengambil peluang membeli beras tempatan yang dijual disebuah pasaraya di Bandar Gua Musang di sini. Foto Bernama
Anglah mengambil peluang membeli beras tempatan yang dijual disebuah pasaraya di Bandar Gua Musang di sini. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini mendakwa terpaksa membeli beras pada harga tinggi seperti ditetapkan oleh peruncit.

Orang Asli suku kaum Temiar Anglah Angah, 41, yang tinggal di Kampung Kelaik, Pos Blau berkata, beliau merupakan antara penduduk yang terkesan dengan harga barangan mahal yang dikenakan kepada pembeli di kawasan pedalaman.

Anglah berkata, disebabkan tidak tahan dengan harga yang tinggi, adakalanya beliau terpaksa keluar ke bandar untuk mendapatkan bekalan makanan asas.

"Di kampung harga 10 kilogram (kg) beras mencecah sehingga RM50 lebih, beras 5 kg dijual dengan harga mencecah RM20, manakala sepeket gula pula dijual pada harga RM5.

"Ahli keluarga saya seramai lapan orang jadi 10 kg beras hanya boleh tahan untuk seminggu sahaja. Hari ini saya menempuh perjalanan hampir 100 kilometer dengan motosikal untuk datang ke bandar Gua Musang mendapatkan beras yang lebih murah hanya RM39 untuk 10 kg,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru, di sini.

Menurut seorang lagi penduduk, Along Uda, 30, penduduk yang majoriti bekerja kampung dan mencari hasil hutan semakin tertekan dengan harga barangan yang semakin meningkat akhir-akhir ini.

"Kebanyakan penduduk di kampung ini menjual buluh di Blue Valley, Tanah Tinggi Cameron (Pahang) dengan harga RM0.50 sebatang. Harga buluh semakin murah tetapi harga beras dan makanan lain semakin naik.

"Kita memang terhimpit dengan keadaan sekarang kerana kami bergantung makanan asas dengan beras kerana ubi kayu sudah tiada sebab kawasan kebun sekarang sudah menjadi ladang Musang King,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Daerah Gua Musang, Zamzani Harun berkata, pihaknya telah mendapat aduan secara lisan dari penduduk Orang Asli yang rata-ratanya tinggal di kawasan pedalaman mengenai harga barangan yang tinggi di penempatan mereka.

"Mereka mengadu harga beras naik mendadak dan penduduk yang tinggal di pedalaman ini meminta Gerakan Pengguna supaya memantau harga di kawasan terbabit.

"Kita telah memaklumkan perkara ini kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya melakukan lawatan dan penyiasatan.

"Saya harap kenaikan harga makanan asas ini tidak berpanjangan dan kerajaan dapat menangani isu ini untuk membolehkan pihak pemborong dan peruncit memberi harga berpatutan kepada pengguna,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!