Gaji permulaan konstabel perlu lebih RM1,500 - PBPM
KUALA LUMPUR - Gaji permulaan bagi Konstable (YA1) Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melebihi gaji minimum berdasarkan tanggungjawab yang digalas anggota pada ketika ini.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Datuk Mokhtar Omar berkata, tangga gaji yang sedia ada ketika ini dilihat amat rendah berbanding tugas yang dilakukan.
"Mereka ini menjaga keamanan dan ketenteraman negara, Ada di antara mereka pula bertarung nyawa bagi membanteras jenayah serta menjamin keselamatan kita semua," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.
Mokhtar berkata, bukan saja penyelarasan perlu dilakukan, malah kerajaan juga perlu mempertimbangkan gaji permulaan istimewa bagi untuk pasukan PDRM.
"Kerajaan perlu menjaga kebajikan anggota polis kerana gaji yang mereka perolehi tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup khususnya anggota yang bertugas di bandar.
"Kita berharap kadar gaji yang diselaraskan itu dapat menaikkan semangat dan serta membina jati diri anggota yang lebih berintegriti dalam menjalankan tugas," katanya.
Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan tangga gaji permulaan anggota polis berpangkat konstabel berada di bawah paras pelaksanaan gaji minimum RM1,500 iaitu RM1,441.
Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya skim gaji permulaan bagi Konstable (YA1) diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.
Cadangan berkenaan dibuat selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup khususnya bagi anggota pangkat rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!