OIC didesak keluarkan nota solidariti untuk pejuang kemerdekaan Palestin

Penduduk menyelamatkan beberapa barang dari bangunan yang runtuh semasa serangan udara Israel. Foto AFP
Penduduk menyelamatkan beberapa barang dari bangunan yang runtuh semasa serangan udara Israel. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyeru Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengeluarkan nota solidariti kepada pejuang kemerdekaan Palestin.

Menyatakan sokongan penuh mereka kepada Operasi Banjir Al-Aqsa untuk melindungi Masjidil Aqsa yang dilancarkan oleh Hamas bersama pejuang Al-Qassam, Islamic Jihad, Al-Quds dan batalion Jenin bagi menentang Israel, kumpulan NGO itu menekankan bahawa kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin mestilah ditentang oleh umat Islam dan pemimpin Muslim di seluruh dunia.

"Operasi ini adalah tindakan balas yang berani untuk mengubah status quo yang menyaksikan Israel sering dilihat menang dalam banyak konfrontasi. Israel telah mendatangkan penderitaan yang mengerikan ke atas rakyat Palestin, baik Muslim dan Kristian, di tanah yang diduduki selama lebih tujuh dekad.

"Namun gerakan penentangan telah mengumpulkan lebih banyak kekuatan untuk bertahan," menurut NGO berkenaan dalam kenyataan bersama mereka, yang turut menyeru umat Kristian untuk bergabung bagi membebaskan Al-Aqsa dan semua tempat suci di Baitul Maqdis.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Pertahan Al-Aqsa Datuk Seri Syekh Ahmad Awang, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Asia Datuk Syekh Abdul Ghani Samsudin dan Setiausaha Agung Sekretariat Palestin Malaysia Syed Syekh Attas.

Semalam, dilaporkan, Ketua Tentera Hamas Mohammed Deif mengisytiharkan permulaan operasi ketenteraan menentang Israel susulan serangan roket bertubi-tubi daripada Semenanjung Gaza.

Tujuan Operasi Banjir Al-Aqsa adalah bagi menghentikan pelanggaran Israel.

Berikutan itu, tentera Israel melancarkan Operasi Pedang Besi ke atas Hamas di Semenanjung Gaza dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu turut dilaporkan sebagai berkata "warga Israel, kita sedang berperang".

Artikel Berkaitan:

Menurut NGO berkenaan, kekejaman tentera pendudukan Israel terhadap rakyat Palentin berlanjutan lebih tujuh dekad tanpa tindakan berkesan oleh masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kekejaman itu.

"Sejak Perjanjian Oslo, realitinya bertambah buruk. Gerakan penentangan adalah satu-satunya kekuatan yang menggerunkan untuk mencabar tentera Zionis. Jenayah terhadap kemanusiaan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa semakin buruk dan meningkat saban hari.

"Sesiapa sahaja yang menghadapi realiti ini akan terpaksa melancarkan penentangan dalam situasi sedemikian. Hamas dan pejuang Palestin yang lain mempunyai alasan yang kukuh untuk menyerang balas," tegas mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!