'Fokus sediakan ekosistem, tenaga kerja mahir depani kerjaya teknologi digital'

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu memberi fokus dalam menyediakan ekosistem dan tenaga kerja mahir khususnya dalam bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai persediaan mendepani kerjaya berasaskan teknologi digital.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyatakan lapan daripada 10 pekerjaan baharu memerlukan kemahiran teknologi digital dan kerjaya berasaskan teknologi digital itu meningkat hampir tiga kali ganda.

"Langkah persediaan ini amat penting untuk meningkatkan kemampuan dan kebolehan ke arah alam pekerjaan di samping menanam rasa minat terhadap bidang STEM daripada bangku sekolah.

"Justeru, inisiatif #Mydigitalmaker melalui Karnival #Mydigitalmaker merupakan antara salah satu komponen utamanya telah memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir negara,” katanya dalam ucapan pada majlis Penutup Karnival #Mydigitalmaker 2023 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Kementerian Komunikasi dan Digital, Ma Sivanesan Marimuthu.

Fahmi berkata, berdasarkan laporan 'The Economic Impact of Generative AI: The Future of Work in Malaysia', teknologi kecerdasan buatan generatif berpotensi membuka kapasiti produktif ekonomi Malaysia hingga AS$113.4 bilion dan mampu menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk negara.

"Ketika ini, perniagaan berteraskan teknologi digital menyumbang lebih daripada separuh ke arah ekonomi global dan dalam dekad yang akan datang, ekonomi digital bakal mencipta 70 peratus daripada semua nilai baharu,” katanya.

Beliau berkata, #Mydigitalmaker merupakan inisiatif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang dijalankan sejak 2016 dan telah memberi manfaat kepada 2.5 juta pelajar sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi inisiatif ini, pelajar berpeluang mendekati pelbagai program berasaskan teknologi digital seperti pengekodan, teknologi dron, kecerdasan buatan, pembangunan permainan dan sebagainya.

"Langkah-langkah proaktif seperti inisiatif Gerakan #Mydigitalmaker berfungsi sebagai pemboleh utama Ekonomi Madani yang seterusnya bertindak sebagai pemacu negara ke arah status negara maju,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!