Waris Allahyarham Anuar terima bantuan PERKESO
SHAH ALAM - Balu serta anak-anak kepada lagenda bola sepak Selangor, Anuar Abu Bakar yang meninggal dunia akibat kanser hati pada 6 Mei lalu menerima bayaran pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini.
Pengurus PERKESO Klang, V Mohanadas berkata, setelah disemak, Allahyarham Anuar merupakan orang berinsurans (OB) dengan PERKESO sejak Oktober 1989, sekali gus melayakkannya untuk menerima bantuan faedah tersebut.
Beliau berkata, sebelum ini Anuar menerima faedah pencen ilat berjumlah RM1,500 selepas disahkan sakit oleh doktor.
Bagaimanapun katanya, setelah Anuar meninggal dunia di Hospital Shah Alam baru-baru ini, faedah tersebut ditukar kepada faedah pencen penakat untuk diberikan kepada waris beliau.
"Menerusi pencen penakat ini, balu Anuar serta tiga orang anak mereka yang berusia 21 tahun ke bawah akan memperoleh faedah berjumlah RM1,500 sebulan.
"Selepas anak-anak mereka melepasi usia 21 tahun, hanya balu Anuar yang akan mendapat faedah tersebut seumur hidup," katanya selepas majlis serahan pencen penakat kepada balu Anuar, Siti Mariam Sathawee, 46, di rumahya di Seksyen 9, di sini hari ini.
Mohanadas berkata, turut diserahkan, faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 kepada waris bekas pemain bola sepak Selangor itu.
"Kita berharap menerusi faedah pencen itu dapat menampung beban isteri serta lima anak yang ditinggalkan," katanya.
Turut hadir, Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.
Sementara itu, Siti Mariam berkata, dia bersyukur dengan bantuan diterima dan akan memanfaatkan sebaiknya untuk keperluan dia dan anak-anak.
"Saya seorang suri rumah, memang tiada pendapatan...Lima anak kami juga masih belajar di universiti dan sekolah.
"Sekurang-kurangnya bantuan diterima ini dapat meringankan beban ditanggung," katanya.
Selain Siti Mariam, Allahyarham Anuar turut meninggalkan lima anak iaitu Najwa Natasha, 24, Aliah Atikah, 22, Amriq Shah, 20, Iman Shah, 17 dan Siti Khadeeja, 10.
Menurutnya, walaupun suami sudah tiada, beliau sangat berbangga kerana anak keempat mereka, Iman Shah dilihat sangat berbakat dalam bidang bola sepak sama seperti arwah bapanya.
"Saya percaya dia mampu meneruskan legasi ayahnya.
"Arwah pun ada pesan pada Iman, jika dia serius untuk menceburi bidang ini dan mahu berjaya, perlu buat bersungguh-sungguh dan menjaga disiplin," katanya memberitahu Iman kini bermain untuk Piala Belia Universiti Teknologi Mara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!