Belanjawan 2024: Permohonan naik gaji penjawat awam tidak keterlaluan - Adnan

Adnan (kanan) menanam pokok kelapa Pandan simbolik perasmian Seminar Kepimpinan Wanita, Jati Diri dan CSR Cuepacs negeri Pahang di Taman Agroteknologi Mardi Cherating. - Foto Bernama
Adnan (kanan) menanam pokok kelapa Pandan simbolik perasmian Seminar Kepimpinan Wanita, Jati Diri dan CSR Cuepacs negeri Pahang di Taman Agroteknologi Mardi Cherating. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Cadangan supaya gaji penjawat awam dinaikkan sebanyak RM300 adalah munasabah dan tidak keterlaluan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2024, memandangkan kali terakhir gaji mereka dinaikkan adalah kira-kira 10 tahun lepas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, ia juga mengambil kira kos sara hidup yang terus meningkat dan wajar dipertimbangkan kerajaan sementara Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan pada 2025.

"Kenaikan gaji kami yang terakhir kira-kira 10 tahun lepas, amat tidak adil pada penjawat awam dalam tempoh itu tidak ada satu pun kenaikan dicadang kerajaan.

"Selain itu, penjawat awam ada kira-kira 1.6 juta, jadi sukar kerajaan untuk beri bonus hingga enam bulan, justeru kami minta satu setengah bulan bonus iaitu angka yang munasabah," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Seminar Kepimpinan Wanita, Jati Diri dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Cuepacs di sini hari ini.

Cadangan itu diutarakan Cuepacs sebelum ini, yang turut memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus minimum satu setengah bulan dan diskaun sekurang-kurangnya 30 peratus bagi pembayaran cukai pendapatan kepada semua penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat ini.

Adnan turut menzahirkan keyakinan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menunaikan hasrat penjawat awam yang telah memberikan perkhidmatan terbaik selama ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!