Kemenangan BN bukti rakyat percaya Kerajaan Perpaduan - Jalaluddin

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

SEREMBAN - Kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai membuktikan rakyat mempercayai prestasi kerajaan hari ini.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia memberi mesej bahawa usaha berterusan yang dilakukan parti di bawah gabungan itu dirasai oleh masyarakat di negara ini.

"Sungguhpun pembangkang atau Perikatan Nasional (PN) menggerakkan seluruh kekuatan jentera dan ‘aset pilihanraya’ yang mereka ada, namun keputusan PRK memperlihatkan bahawa majoriti pengundi tetap terus mempercayai Kerajaan Perpaduan.

"Jika diteliti analisa yang dilakukan pelbagai pihak semasa sesi kempen di PRK Pelangai diadakan, dapatan mengakui bahawa calon BN dan PN memiliki potensi yang cerah untuk menang," katanya pada Ahad.

Pada PRK Pelangai, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menang dengan majoriti 2,949 undi selepas memperoleh 7,324 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni meraih 47 undi.

Bagaimanapun, jumlah majoriti undi itu berkurangan berbanding 4,048 undi diperoleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang mewakili BN dalam persaingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu turut meminta agar rakyat di negeri ini terus memberi sepenuh sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Ia bagi memastikan usaha-usaha mengangkat martabat dan harakat rakyat dapat dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!