Dunia gagal tangani konflik Israel, Palestin - Raja Kamarul

Raja Bahrin
Raja Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seluruh dunia didakwa telah gagal menangani isu sejagat melibatkan konflik Palestin, Israel yang berlarutan sejak sekian lama.

Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, keadaan itu telah memaksa rakyat Palestin yang selama ini berjuang tanpa sebarang bantuan luar bertindak balas dan melancarkan serangan bersendirian.

Ujar beliau, pendekatan Israel terhadap negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dari segi ekonomi dan diplomasi merupakan 'ciuman maut' kepada perjuangan Palestin kerana ia akan menyebabkan mereka semakin terasing dan dipinggirkan dalam perjuangan untuk terus hidup.

"Saya berpendapat tindakan 'diplomatik' Israel untuk menjalinkan hubungan mesra dengan negara-negara Arab-Muslim setempat adalah strategi lama bagi memecahkan-belahkan persatuan negara-negara Arab-Muslim untuk menjauhkan diri mereka daripada memperjuangkan penderitaan rakyat Palestin sementara Israel terus melanjutkan penindasan mereka.

"Walaupun merapatkan hubungan dengan jiran Arab Palestin ini, penempatan haram Yahudi terus dibangun di tanah Palestin, rumah rakyat Palestin terus dimusnahkan dan serbuan ke atas Masjid Al-Aqsa, tempat suci umat Islam semakin kerap berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Menurut Raja Bahrin, diplomasi antara negara Arab dan Israel menyebabkan isu-isu Palestin dilihat tidak dipedulikan dan mereka perlahan-lahan dilupakan dalam landskap baharu Timur Tengah yang dibentuk oleh Israel dan Amerika Syarikat.

"Perjuangan Palestin terlalu penting dan besar untuk diabaikan dengan harapan ia akan hilang dan dilupakan selepas hampir 70 tahun pendudukan Israel.

"Bagaimanapun, Israel terus merampas tanah Palestin, meruntuhkan rumah mereka, dan membunuh mereka yang menentang kezaliman ini, Barat menganggap kebangkitan rakyat Palestin terhadap kezaliman ini sebagai tindakan keganasan dan bukan pembelaan diri.

Artikel Berkaitan:

"Kekejaman dan tindakan aparteid berlaku di tanah air mereka sendiri, namun dunia dan jiran Arab mereka hanya 'melihat' malah saudara seagama mereka terus mengabaikan dan menyisihkan mereka.

"Saya berpandangan konflik besar baharu mungkin berlaku kerana pengasingan serta frustrasi mereka semakin meningkat.

"Ramalan saya menjadi kenyataan apabila kebangkitan rakyat Palestin terjadi apabila Hamas dan Jihad Islam memutuskan untuk melancarkan serangan mendalam ke Israel," katanya.

Menurut Raja Bahrin, semua pihak bertanggungjawab atas peristiwa yang berlaku itu.

"Kita tidak boleh mendakwa tidak bertanggungjawab atas penderitaan panjang saudara kita ini dan pertumpahan darah yang berterusan. Kini seluruh dunia dilihat telah gagal menangani isu-isu Palestin dan keadaan tragis menimpa mereka," ujarnya.

Sebelum ini, pejuang pembebasan Al-Quds dan Briged Al-Qassam Hamas mengisytiharkan serangan balas terhadap pencerobohan rejim Israel di Palestin.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Angkatan Tentera Penentang dan Briged Al-Qassam, Muhammad Al-Deif berkata, Israel tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan, sehingga mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa dan membunuh ratusan warga Palestin.

Dalam perkembangan sama, tentera rejim Zionis dilaporkan menembak mati enam pemuda Palestin termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Tebing Barat.

Pembunuhan tersebut berlaku ketika Hamas yang menguasai Genting Gaza membedil 5,000 roket ke wilayah Israel pada Sabtu yang merupakan serangan terbesar dalam tempoh beberapa tahun ke atas negara haram itu.

Menurut laporan agensi berita Wafa yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin menyebut bahawa dua mangsa iaitu Mahmoud Bassem Akhmis dan Youssef Nader Suleiman Idris ditembak menggunakan peluru hidup semasa serbuan tentera Israel di al-Khalil (Hebron).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!