Asean perlu dapat pengiktirafan sewajarnya: Tun M

Mahathir
Mahathir
A
A
A

BANGKOK - Asean perlu mendapatkan pengiktirafan sewajarnya sebagai satu-satunya pertubuhan serantau yang mampan dan mempunyai potensi yang begitu besar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dengan mempunyai penduduk berjumlah lebih 600 juta, terdapat pasaran yang luas yang dapat menyokong industri tempatan.

"Saya fikir jika kita bekerjasama, kita boleh mendapat manfaat daripada 600 juta penduduk ini dan pada masa yang sama kita tidak akan melakukan perkara yang serupa, kita boleh mengagihkan industri antara kita sendiri," kata beliau pada sidang media selepas menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam Kepimpinan Sosial, Perniagaan dan Politik daripada Rangsit University di sini, hari ini.

"Hubungan antara negara-negara anggota Asean adalah sangat baik kerana kita dapat menyelesaikan masalah antara kita secara aman, " kata Dr Mahathir.

"Justeru, Asean kekal sebagai rantau yang sangat stabil dan aman di dunia dan saya fikir kita perlu menghargai hakikat ini kerana banyak rantau di dunia tidak mencapai hasil yang memuaskan pada hari ini," kata beliau dan menambah terdapat masalah di Amerika Utara, Eropah, Timur tengah dan banyak tempat lain.

Ketika ditanya sama ada pendidikan boleh menjadi tonggak dalam usaha membasmi kemiskinan di Asean terutama berdasarkan hakikat bahawa masih ada penduduk dari negara anggota yang tidak mampu mendapat pendidikan swasta, beliau berkata masih ada banyak peluang yang sedia ada.

"Negara-negara Asean adalah negara kos rendah dan oleh itu apa-apa yang dilakukan di negara-negara ini tidak akan menjadi beban bagi rakyat di negara masing-masing dan juga golongan miskin dari negara lain.

"Seperti yang anda lihat, rakyat dari negara-negara lain seperti Afrika, Timur Tengah dan tempat lain datang ke Malaysia kerana kos pendidikan di Malaysia jauh lebih murah daripada di negara-negara Eropah atau negara Barat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jadi melalui cara ini, negara-negara anggota bukan sahaja dapat membantu rakyatnya tetapi juga penduduk dari negara-negara miskin, kata Dr Mahathir.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!