Arkitek pamer resipi hasil kajian 20 tahun dalam gastronomi
TUMPAT - Kajian selama 20 tahun dalam bidang gastronomi memberi peluang kepada seorang arkitek untuk menghimpunkan pelbagai resipi masyarakat hulu, darat dan Orang Asli bukit.
Azzahar Ibrahim, 48, berkata, melalui pameran After Monsoon Project 02, Gastronomi Langkasuka 'Bekwoh Langkasuka', resipi orang lama itu dimanfaatkan untuk membentuk satu karya untuk dinikmati masyarakat moden.
Justeru, Azzahar yang juga seorang seniman memberitahu, hidangan dinikmati tetamu pada program itu yang mengandungi pelbagai jenis ulam, masak lemak, singgang dan budu merupakan salah satu karya beliau.
"Saya juga menghimpunkan seramai 13 seniman dari Malaysia dan Pattani bergabung menghasilkan seni dalam gastronomi melibatkan negara mereka," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Program After Monsoon Project 02, Gastronomi Langkasuka 'Bekwoh Langkasuka di sini pada Ahad.
Hadir merasmikan program berkenaan ialah Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerudin Ahmad.
Azzahar yang juga pengarah projek program berkenaan memberitahu, tema gastronomi dipilih untuk mengangkat budaya dan warisan daripada sejarah Langkasuka.
"Biasanya, orang ramai melihat hasil seni yang hanya menggabungkan lukisan visual dan skulptur tetapi kami memilih untuk mengadakan jamuan pelbagai makanan supaya dapat dinikmati, dirasa dan disentuh.
"Jika seniman lain mempunyai kanvas untuk melukis, saya pula ada dapur untuk memasak," katanya.
Beliau memberitahu, gabungan kesemua seniman dapat menghasilkan pelbagai jenis lukisan termasuk dalam seni dua dan tiga dimensi, saluran video membabitkan gastronomi.
Sementara itu, Amerudin berkata, inisiatif kumpulan seniman yang memilih gastronomi sebagai tema sempena pameran itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
"Mereka menjadi ejen untuk mengetengahkan budaya dan tradisi masyarakat kita supaya lebih difahami kerana sudah diolah dalam bentuk visual," katanya.
Tambah beliau, gabungan seniman Malaysia dan negara jiran menghasilkan sebuah karya seni yang mengimbau kembali zaman Langkasuka membabitkan makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!