Gaji permulaan konstabel wajar dinaikkan

Wan Ahmad Fauzi
Wan Ahmad Fauzi
A
A
A

SHAH ALAM - Gaji permulaan bagi konstabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar dinaikkan dengan kadar minimum RM1,500 sebulan kerana kenaikan kos sara hidup.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, jika kesejahteraan anggota pangkat rendah terbela, sudah pasti motivasi mereka meningkatkan mutu dan mengekalkan perkhidmatan yang baik semakin bertambah.

“Usul ini perlu diberikan pertimbangan segera kerana Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain lebih mengetahui cabaran dan keperluan mendesak untuk memastikan konstabel setiap hari berhubung dengan masyarakat secara langsung.

“Peranan dan keperluan konstabel dalam menjaga keselamatan serta keharmonian rakyat begitu jelas sehingga mampu memelihara ketenteraman dalam negara.

“Rakyat pada hari ini mempunyai jangkaan yang begitu tinggi kepada mereka sehingga tidak dinafikan ada kes berlaku akibat rasa ketidakpuasan hati di kedua-dua belah pihak,” katanya pada Ahad.

Jelasnya, tabung khas juga boleh diwujudkan dalam bentuk sumbangan wang tunai, wakaf harta dan bentuk lain yang sesuai agar rakyat dapat membantu kerajaan dalam memelihara kebajikan anggota PDRM.

“Saya percaya melalui kaedah ini, anggota pangkat rendah dan keseluruhan warga PDRM akan lebih bermotivasi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Tabung khas tersebut boleh dimanfaatkan untuk menambahkan caruman insuran berkelompok konstabel dan membuat pelaburan dengan memberi imbuhan ketika persaraan, pinjaman tanpa faedah bagi pendidikan anak mereka serta keperluan lain,” ulasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dari sudut perspektif ekonomi, cadangan KPN juga merupakan satu pelaburan yang memberikan pulangan positif berganda kepada kerajaan.

“Ini kerana setiap perkara sama ada baik atau buruk akan memberikan kesan sampingan, apatah lagi jika dinilai kepada skop perkhidmatan mereka yang ada di setiap jabatan organisasi PDRM.

“Ada anggota pangkat rendah turut terancam apabila menjalani tugas dan kerana ingin menjaga integriti. Tabung khas yang dicadangkan itu boleh diadakan kepada perkhidmatan lain yang terdedah dengan pelbagai risiko,” jelasnya.