Konon jual barangan terpakai berjenama, rupanya tiruan

KPDN Kelantan berjaya menumpaskan taktik peniaga barangan terpakai yang menjual beg tiruan dengan mendakwa ianya berjenama.
KPDN Kelantan berjaya menumpaskan taktik peniaga barangan terpakai yang menjual beg tiruan dengan mendakwa ianya berjenama.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya menumpaskan taktik peniaga barangan terpakai yang menjual beg tiruan dengan mendakwa ianya berjenama.

Serbuan melalui pengaduan oleh wakil pemilik cap dagang itu adalah hasil daripada pemantauan risikan selama seminggu sekitar Kota Bharu dan Kuala Krai.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, sebanyak 829 unit beg tangan wanita pelbagai jenama terkenal telah disita hasil daripada rampasan yang dilakukan di lokasi berasingan.

"Ia melibatkan satu kes di Kota Bharu dan dua kes di Machang dengan nilai rampasan keseluruhan bagi kertas siasatan yang dibuka dianggarkan berjumlah RM33,314," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurut beliau, ketiga-tiga kes itu akan disiasat bawah Seksyen 102 (1)(c) dan 100(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, kawalan dan jagaan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar pada barangan atau perkhidmatan.

Ujarnya, operasi itu dilakukan ke atas premis perniagaan barangan terpakai berjenama yang dijual secara atas talian.

Azman memberitahu, ia bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran dari pemilik cap dagangan berdaftar.

"KPDN Kelantan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini, seterusnya akan berhadapan dengan tindakan denda yang tinggi seterusnya dipertuduhkan di mahkamah selanjutnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!